Thursday, 19 January 2012
oleh Jofri Jaraiee PAS Miri
Kg Bungai, Kg Kepurau, Kg Subak dan Kelulit terletak dalam kawasan parlimen Sibuti dan merupakan perkampungan orang Kadayan dan juga orang Melayu. Terdapat juga orang Iban dan Cina tinggal di kawasan tersebut. Jarak perjalanan dari bandaraya Miri ke kawasan tersebut mengambil masa lebih kurang 1 jam.
Walaupun aktiviti PAS Miri berjalan seperti biasa di bandaraya Miri, tetapi baru-baru ini rombongan PAS Miri telah meninjau keadaan penduduk yang tinggal di kawasan Sibuti.
PAS Miri telah melawat Tamu Bungai dan bertemu dengan penduduk kampung serta memberi penerangan tentang Negara Berkebajikan kepada penduduk tempatan di Kg Bungai, Kg Kepurau dan Kg Subak.
Disamping lawatan sambil kerja tersebut, PAS Miri telah menghulurkan bantuan sumbangan kepada 57 buah keluarga miskin dan ibu tunggal yang tinggal di kawasan tersebut. Sumbangan dilakukan dari rumah ke rumah ini telah mendapat sambutan yang baik dari penduduk tempatan.
Ini merupakan kali pertama PAS dapat bertemu dengan penduduk tempatan di kampung tersebut dan merupakan langkah yang pertama ke arah Negara Berkebajikan. Disamping itu PAS juga telah berjaya mendaftar 16 orang pengundi baru di kawasan tersebut.
Masalah jalanraya dan juga bekalan air bersih masih lagi jadi isu utama yang dihadapi oleh sesetengah kawasan khasnya Kg Kejapil ke Kg Keluru dimana jalanraya yang masih rosak dan belum dibaiki sepenuhnya. Jalanraya tersebut hanya diturap semasa Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak yang lalu.
Masalah bekalan air bersih dibeberapa kawasan kampung seperti Padang Kelulit masih lagi agak ketinggalan dan perlu diberi perhatian oleh pihak yang berwajib. Kemudahan infrastuktur perlu diutamakan di
kawasan luar bandar kerana keadaan kampung di Sibuti masih lagi belum membangun sepenuhnya walaupun kita sudah merdeka hampir 55 tahun.
Kemana perginya peruntukan untuk luar bandar yang sepatutnya dapat dinikmati oleh penduduk di luar bandar?
Kita mendesak agar kerajaan BN dan pihak yang berwajib dapat menunaikan janji-janji mereka kepada penduduk di Sibuti semasa PRU Sarawak yang lalu. Peruntukan yang sepatutnya disalur kepada kawasan
pendalaman hendaklah dilaksanakan dengan segera tanpa menunggu PRU 13 nanti.
Tanggungjawab pemerintah adalah menjalankan amanah rakyat dengan jujur dan adil tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.
No comments:
Post a Comment