Friday, 20 January 2012

4,097 hektar tanah di Skrang akan diukur mulai Februari



SRI AMAN 19 Jan. - Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) Bahagian Sri Aman akan memulakan kerja mengukur 4,097 hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan Skrang, Engkilili pada Februari dan Mac tahun ini.

Penguasa JTS Bahagian Sri Aman, Mohamad Razali Arshad berkata, jumlah keluasan tanah NCR yang diukur itu melibatkan tanah milik penduduk dari kawasan Tanjung Rambai, Sungai Tembong, Sungai Maloi, Sungai Lipat, Bukit Baling dan Sungai Penyuan di Skrang.

"JTS Bahagian Sri Aman akan memulakan kerja pengukuran perimeter bermula Februari melibatkan dua daripada enam kawasan tanah NCR terlibat iaitu Sungai Tembong dan Sungai Lipat.

"Kerja pengukuran perimeter itu akan melibatkan 1,878 hektar tanah NCR milik 1,300 penduduk dari kedua-dua kawasan terlibat dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan," katanya pada sesi Dialog Lapangan Pengukuran Tanah NCR di Bawah Inisiatif Baharu NCR di Dewan Skim Skrang, Engkilili dekat sini semalam.

Dalam pada itu, Mohamad Razali berkata, kerja-kerja pengukuran tanah NCR penduduk bagi kawasan Tanjung Rambai, Sungai Maloi, Bukit Baling dan Sungai Penyuan pula akan dilaksanakan Mac ini.

Katanya, ia melibatkan 2,219 hektar tanah milik 2,000 penduduk dari kawasan berkenaan yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan.

"Pihak JTS perlu menyelesaikan kerja pengukuran perimeter terhadap 4,097 hektar tanah ini menjelang 31 Mac dan kita memohon kerjasama daripada penduduk ketika kerja-kerja ini dilaksanakan nanti.

"Penduduk yang terbabit perlu hadir ke lapangan ketika JTS memulakan kerja pengukuran perimeter tanah mereka dan kita berharap penduduk akan berkompromi dalam menyelesaikan sempadan tanah masing-masing," ujarnya.

No comments:

Post a Comment