Monday 30 January 2012

BR1M bukan gula-gula pilihan raya untuk pancing undi: Fadillah

 

Posted on January 30, 2012, Monday

KUCHING: Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan gula-gula pilihan raya untuk memancing undi rakyat, tegas Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Datuk Fadillah Yusof.
Beliau yang yakin program ini akan diteruskan pada tahun depan serta selanjutnya, berkata ada pihak tertentu memainkan sentimen daripada program berkenaan untuk memecah belahkan sokongan rakyat terhadap kerajaan.
Tegasnya, BR1M tiada kaitan dengan pilihan raya sebaliknya fokus program ini bersesuaian dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
“BR1M adalah sebahagian daripada program dan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.
“Bila kita melaksanakan sesuatu perkara ia tidak mengira pilihan raya dan jauh sekali pemberian jangka pendek, sebaliknya kerajaan telah memikirkan dari sudut jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian BR1M kepada seramai 349 orang penerima dari kawasan P.194 Petra Jaya di Kampung Tupong di sini semalam.
Menyentuh mengenai persiapan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, jentera BN di Sarawak khasnya sentiasa berada pada ‘Gear 5’ seperti yang ditekankan oleh Ketua Penerangan BN Datuk Ahmad Maslan.
Katanya, jentera BN Sarawak telah mula bekerja sebaik sahaja pilihan raya selesai bertepatan dengan matlamat yang menekankan pencapaian prestasi pada setiap masa.
Pada masa yang sama menurutnya, pihaknya akan bekerjasama dengan parti komponen negeri untuk memastikan kemenangan dikekalkan pada PRU akan datang.
“Sebab itu kita melihat di sini pada program hari ini walaupun kawasan ini majoriti Melayu tetapi kaum lain, Cina, Iban dan Bidayuh juga menerima bantuan yang sama.
“Sebab itu walaupun kita melihat ada masalah dalam parti komponen, bila keluar masih memperjuangkan BN sebab mereka yakin bahawa di Malaysia ini, hanya dasar dan strategi yang digariskan oleh BN yang dapat memajukan rakyat dan negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment