Posted on January 30, 2012, Monday
KUCHING: Perkataan ‘berambeh’ yang sinonim dengan kehidupan masyarakat Melayu Sarawak pada masa dahulu perlu dikategorikan sebagai bahasa baku.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof berkata, pada masa ini makna sesuai untuk berambeh masih tidak terdapat dalam bahasa baku.
“Dalam bahasa baku memang tidak ada makna yang benar-benar menggambarkan konsep berambeh. Kita sudah cari memang tidak jumpa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Program Berambeh Bahasa dan Penyampaian BR1M di Medan Ria Taman Sukma di sini, malam kelmarin.
Majlis tersebut disempurnakan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.
Menurutnya, berambeh sebenarnya menggambarkan corak kehidupan masyarakat Melayu yang tinggal di sesebuah rumah orang lain dan dianggap seperti saudara-mara sendiri.
Dalam pada itu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menjelaskan, penyatuan masyarakat di negara ini hanya dapat dilaksana secara lebih berkesan menerusi bahasa.
“Kita dikenali daripada bahasa. Ini kerana hampir setiap negeri di Malaysia mempunyai bahasa tersendiri,” ujarnya.
Bukan itu sahaja katanya, pembentukan identiti seseorang juga bermula daripada bahasa.
“Justeru, setiap bahasa yang kita ketahui perlu dikongsi bersama agar dapat difahami dan ditutur bersama,” jelasnya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
No comments:
Post a Comment