Posted on January 25, 2012, Wednesday
SRI AMAN: Tiga wakil rakyat di Sri Aman iaitu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim, Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan Sarawak Datuk Francis Harden Hollis serta Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat tidak melepaskan peluang mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina terhadap pemimpin-pemimpin masyarakat di sekitar Sri Aman kelmarin.
Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar telah meluangkan masa hampir tiga jam berkunjung ke rumah Temenggung Sii Toh Peng yang terletak di Taman Pasir Panas, Sri Aman dan rumah Kapitan Kuek Aik Seng di Jalan Hup Seng, Jalan Brayun, Sri Aman.
Manakala, Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang meluangkan masa hampir empat jam berkunjung ke majlis rumah terbuka di kawasan beliau termasuk ke rumah Temenggung Sii Toh Peng, Kapitan Kuek Aik Seng serta pemimpin-pemimpin Cina yang lain di kawasan beliau.
Sementara itu, Masir pula meluangkan masa hampir sejam berkunjung ke rumah Temenggung Sii Toh Peng yang terletak di Taman Pasir Panas, Sri Aman.
Rohani yang sempat ditemui Utusan Borneo menjelaskan bahawa perayaan Tahun Baharu Cina yang diraikan oleh masyarakat Cina merupakan salah satu perayaan 1Malaysia yang diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia. “Di sini kita dapat melihat kaum melayu dan Iban mengambil peluang berkunjung ke majlis rumah terbuka rakan-rakan Cina mereka dan ini menunjukkan kita semua dalam satu rumpun rakyat Malaysia. “Kita semua tidak bergaduh sesama sendiri malah kita semua bersatu dan kita semua berpeluang meraikan semua perayaan di Malaysia,” katanya.
Turut bersama-sama mengiringi kunjungan Rohani, Harden dan Masir ke majlis rumah terbuka berkenaan, para pemimpin masyarakat daripada kaum Melayu serta kaum Iban.
No comments:
Post a Comment