Tuesday 31 January 2012

S’wak kurang taska berbanding tadika

Posted on January 31, 2012, Tuesday

KUCHING: Penyertaan kanak-kanak di taska seluruh negeri adalah tidak seimbang berbanding tadika.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, hanya 2,069 atau 2.7 peratus kanak-kanak mengikuti taska dan 76,924 di tadika.
“Ini bermakna masih ada kira-kira 97.3 peratus kanak-kanak tidak mengikuti taska.
“Kemungkinan hal ini disebabnya kurang bilangan taska yang ditubuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Pendidik Permata Negara Siri 2 2012 di sini, semalam.
Menurutnya, kekurangan bilangan taska banyak berpunca daripada kerenah birokrasi proses pendaftaran yang dikatakan agak rumit dan mengambil masa lama.
Tambahnya, demi menggalakkan penubuhan taska, kerajaan menerusi Majlis Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-kanak Sarawak (MPPAKS) mengambil langkah dengan mewujudkan pusat pendaftaran setempat taska di seluruh negeri.
“Pusat ini adalah hasil bengkel bersama semua agensi yang terlibat dalam pendaftaran taska swasta,” ujarnya.
Di Sarawak katanya, pendidikan awal kanak-kanak diberi penekanan serius dalam usaha kerajaan mengukuhkan pendidikan asas bagi membantu pembentukan sumber manusia yang dapat menyumbang kepada inisiatif menjadikan Sarawak negeri maju dan berpendapatan tinggi.
“Pada masa ini terdapat 3,031 tadika yang mendaftarkan seramai 76,924 kanak-kanak selain 102 taska berdaftar dengan bilangan 2,069 kanak-kanak.
“Selain itu, terdapat 14 pusat jagaan menyediakan kemudahan jagaan dan asuhan kepada 583 penghuni,” jelasnya.
Ketika bercakap kepada pemberita selepas itu beliau berkata, kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan pendidikan awal kanak-kanak akan terus dipertingkatkan.
“Ini kerana ada ibu bapa beranggapan tak apalah tiada pendidikan awal kanak-kanak, ia tidak penting seperti pendidikan rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi,” kata Fatimah.

No comments:

Post a Comment