Saturday, 21 January 2012

DAP sebenarnya iri hati usaha murni BN: Fadillah


Posted on January 21, 2012, Saturday

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) disifatkan iri hati dan cuba memesongkan rakyat terhadap usaha murni kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) dalam membantu rakyat di negeri ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof menegaskan tiada agenda politik dalam pengagihan baucar RM500 Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti mana yang didakwa pihak pembangkang itu. “Mereka (DAP) sebenarnya iri hati… dan akan cuba memesongkan rakyat atas segala usaha baik kerajaan BN dalam membantu rakyat,” katanya.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menjelaskan, kelewatan pengagihan baucar itu kerana pengurusan perkara tersebut melibatkan pelbagai pihak dalam memastikan penyerahan baucar itu kepada penerima dapat dilakukan dengan sempurna. “Ia (pemberian baucar RM500 BR1M) melibatkan banyak perkara dan orang seperti pihak pegawai daerah, pemimpin masyarakat, notis dan juga bank serta membabitkan orang yang begitu ramai dan juga jumlah wang yang banyak,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan DAP yang menyatakan kelewatan penyerahan baucar itu mempunyai agenda politik tersendiri. “Apa yang mereka buat? Nak bantu rakyat? Cakap jerlah (sajalah) nak tanam perasaan marah dan curiga rakyat kepada pemimpin BN dan usaha baik kerajaan BN,” tambahnya lagi.

Semalam, Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen berkata: “Baucar itu memang sudah ada di Pejabat Residen tetapi rakyat dikehendaki menunggu sehingga satu tarikh tertentu sebelum mereka boleh menerimanya daripada wakil BN. Adakah ini satu agenda politik?”

Chong berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan di Pejabat Residen Bahagian Kuching semalam.

No comments:

Post a Comment