Saturday, 21 January 2012

PR tak mampu tandingi BN: Daud


by Mahathir Haroun. Posted on January 21, 2012, Saturday
PRIHATIN: Daud (tiga kiri) menyampaikan bantuan peralatan sekolah
sumbangan Yayasan Taqwa (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan)
 sambil diperhatikan Ahmad (kanan) dan Timbalan Menteri Sains, 
Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof.

Jangan terpengaruh propaganda terutama menjelang pilihan raya

KUCHING: Pakatan Rakyat (PR) tidak mempunyai kemampuan untuk menandingi Barisan Nasional (BN) dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat terutama dalam aspek pembangunan dan kebajikan.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, rakyat sepatutnya tidak terpengaruh dengan sebarang bentuk propaganda yang direka mereka terutama ketika musim pilihan raya. “Tidak ada orang lain dapat buat seperti kita (BN). Jangan terpengaruh dengan kata-kata manis pembangkang kerana mereka hanya tunjuk belang semasa pilihan raya. “Namun selepas pilihan raya watak dan bayang-bayang mereka hilang entah ke mana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bantuan Persekolahan Peringkat Negeri Sarawak 2012 dan Penyerahan Bangunan Dewan Tupong di sini, semalam.

Menurutnya, pihak pembangkang hanya tahu membantah setiap perancangan pembangunan BN untuk rakyat di seluruh negara. “Kita dah buat semua untuk rakyat tetapi ada pihak berusaha untuk mengacau. Tidak perlulah mereka menghebohkan mengenai negara kebajikan kerana kita sudah lama melaksanakannya,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Daud yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan masyarakat terutama dalam bidang pendidikan. “Ini kerana kerajaan mahu setiap lapisan masyarakat mendapat hak sama rata tidak kira golongan kaya, sederhana atau kurang berkemampuan,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, tumpuan khusus diberikan kepada golongan kurang berkemampuan dengan memberi pelbagai jenis bantuan kepada mereka agar dapat mencapai kejayaan dalam pendidikan.

Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Taqwa (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) Ahmad Ayob Ibrahim menjelaskan, program bantuan tersebut diadakan adalah untuk memberi semangat kepada pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan dan anak-anak yatim untuk merasa suasana persekolahan dengan kelengkapan baharu. “Seramai 473 pelajar sekolah di kawasan Tupong menerima sumbangan berupa set barangan persekolahan bernilai RM220 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM104,060,” kata Ahmad.

No comments:

Post a Comment