Friday 27 January 2012

'Anwar tak berpaksi kepada kebenaran'

 

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyaman bekas-bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana mendedahkan isu moralnya menunjukkan sikap sebenar Ketua Pembangkang itu yang tidak berpaksikan kebenaran.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, sekiranya Anwar tidak berbuat sebarang kesalahan seperti didakwa oleh bekas-bekas pengikutnya itu, tiada sebab beliau harus takut untuk menyaman mereka. "Mengapa tidak berani saman bekas-bekas pengikutnya yang selama ini menjaja isu moral membabitkan dirinya. Sebaliknya, beliau hanya berani menyaman Utusan Malaysia.

"Beliau takut kepada kebenaran, itulah hakikatnya. Sekiranya kita percaya kita di pihak yang benar, kita tidak akan takut, sebaliknya berani kerana benar. "Berbeza dengan Anwar, tindakan beliau itu menggambarkan seolah-olah segala isu moral yang dijaja oleh bekas pengikutnya adalah benar dan Anwar takut kepada kebenaran itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Razali, tindakan Anwar menyaman Utusan Malaysia juga membuktikan Ketua Pembangkang itu mengiktiraf kredibiliti akhbar berkenaan yang mempunyai pengaruh besar kepada rakyat Malaysia khususnya orang Melayu. "Beliau sebenarnya takut serta mengiktiraf pengaruh yang dimiliki Utusan Malaysia berbanding bekas-bekas pengikutnya, sebab itu beliau menyaman akhbar berkenaan. "Bagaimanapun, saya berharap Utusan Malaysia tidak akan terpengaruh dengan 'ugutan' berbentuk sedemikian dan terus memperjuangkan kebenaran," jelasnya.

No comments:

Post a Comment