Tuesday 31 January 2012

Jangan buat spekulasi saya kembali kepada kumpulan Chin, kata Lee

Posted on January 31, 2012, Tuesday

TERIMALAH: Lee mengedarkan buah limau mandarin kepada pemilik kedai di sekitar Morsjaya sempena sambutan Tahun Baharu Cina.


MIRI: Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin meminta pihak tertentu agar tidak membuat sebarang spekulasi yang menyatakan bahawa beliau kembali kepada kumpulan Datuk Seri Peter Chin, yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
“Saya tidak pernah berubah pendirian, jadi hentikan membuat sebarang spekulasi mengenai perkara ini.
“Umum sedia maklum bahawa Jabatan Pendaftar Pertubuhan masih melakukan siasatan terhadap parti,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di pejabat SUPP Cawangan Riam di Morsjaya semalam.
Lee mengulas laporan media tempatan kelmarin yang menyatakan beliau mungkin menyertai kumpulan Chin selepas beliau dilihat menghadiri majlis Tahun Baharu Cina di kediaman bekas Presiden SUPP Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan pada 21 Januari lalu.
“Tiada sebab saya tidak boleh menghadiri majlis itu di kediaman beliau (Dr Chan), lagipun beliau adalah bekas presiden dan sudah bersara daripada arena politik.
“Namun saya mahu tegaskan, kehadiran saya di situ tiada kaitan langsung dengan menyertai kumpulan Chin,” katanya.
Kelmarin, Chin yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air ketika ditanya mengenai spekulasi tersebut, enggan mengulas sebaliknya meminta media untuk bertanyakan perkara itu kepada Lee sendiri.
Lee yang juga pengerusi SUPP Cawangan Senadin merupakan antara ahli kumpulan Dato Sri Wong Soon Koh yang turut serta memboikot Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali (TDC) pada 8 hingga 11 Disember tahun lepas.
“Sekarang kita serahkan kepada ROS untuk membuat keputusan. Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana saya sendiri tidak menghadiri TDC tempoh hari,” katanya.
Terdahulu, Lee mewakli SUPP cawangan Riam turut mengagihkan buah limau mandarin kepada lebih 20 pemilik kedai di sekitar Morsjaya sempena Tahun Baharu Cina.

No comments:

Post a Comment