Friday 27 January 2012

Rakyat Sabah jangan terpedaya gimik politik Anwar - Shafie

 



MOHD. Shafie Apdal (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada perwakilan pada majlis perasmian
Perhimpunan Pemaju Masyarakat RISDA Peringkat Nasional di Gopeng, semalam. Turut hadir Ketua
Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad (dua dari kiri).

GOPENG 26 Jan. - Rakyat Sabah diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan janji manis Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya mahu menaikkan royalti minyak sehingga 20 peratus jika pakatan pembangkang mentadbir negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, janji Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak lebih daripada gimik politik untuk menjadi popular dan meraih sokongan rakyat. "Dulu pun dia buat gimik politik hendak beri jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Sabah dan Sarawak. Dia hendak jadi popular sahaja. "Hendak jadi populis dalam jangka masa pendek bolehlah. (Mahu jadi pemimpin) jangka masa panjang jadilah macam Barack Obama.., (itu) tidak mampu hendak buat. (Hendak menjadi pemimpin), kita perlu berlandaskan kebenaran," katanya selepas merasmikan Perhimpunan Pemaju Masyarakat RISDA Peringkat Nasional di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas janji Anwar ketika Ketua Pembangkang itu berucap pada majlis Rumah Terbuka PKR di Dewan Kian Kok, Likas dekat Kota Kinabalu baru-baru ini.

Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, janji-janji termasuk yang terkandung dalam manifesto pakatan pembangkang tidak boleh dipercayai kerana pembangkang sendiri tidak komited dalam usaha membela nasib rakyat.

Beliau menarik perhatian, ketika kerajaan hendak meluluskan RM5 bilion untuk membina jalan, bekalan air dan elektrik kepada rakyat Sabah dalam Belanjawan 2012 baru-baru ini, wakil pembangkang bertindak keluar dari Dewan Rakyat kerana tidak menyokong. "Kita bukan tidak kenal Anwar, kita kenal dia sangat. Dia janji bekalan air di kawasan saya semasa dia menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tetapi dia tidak tunai pun. "Kalau tidak percaya, tanya bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam. Anwar berucap di Kampung Balong yang terletak di bawah Parlimen saya pada masa itu. Dia janji saja," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Sabah dan Sarawak menilai komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah menyalurkan berbilion ringgit untuk menjayakan agenda pembangunan termasuk pembinaan sekolah dan kemudahan jalan di kedua-dua negeri itu.

No comments:

Post a Comment