Saturday, 21 January 2012

BN perlu rampas kembali kerusi Sibu, kata Dr Annuar


Posted on January 21, 2012, Saturday

SIBU: Barisan Nasional (BN) perlu merampas kembali kerusi Parlimen P.212 Sibu daripada pihak pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapa’ee berkata, ini perlu bagi kepentingan penduduk di Parlimen Sibu terutama dari segi peruntukan pembangunan.
“Jika calon yang dipilih bukan daripada kerajaan, banyak peruntukan kerajaan persekutuan tidak dapat dinikmati oleh penduduk. Sebagai ADUN, penting bagi saya bekerjasama dengan Ahli Parlimen. “Namun jika Ahli Parlimen dari parti lain, sukar untuk kita bekerjasama,” ujarnya kepada pemberita ketika diminta memberi pandangan berhubung kerusi Parlimen Sibu pada PRU13.

Parlimen Sibu merangkumi kerusi DUN Nangka, Bawang Assan dan Pelawan. Pada pilihan raya kecil lepas, kerusi ini telah dimenangi oleh Richard Wong Ho Leng dari Parti Tindakan Demokratik (DAP), menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew.

Menurut Dr Annuar lagi, untuk Sibu terus maju, penting bagi kedua-dua wakil rakyat sama ada di peringkat negeri dan persekutuan dapat bekerjasama. “Kita akan berusaha keras untuk merampas kembali kerusi Parlimen Sibu ini nanti,” jelas beliau.

Ditanya berhubung dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan nasib kerusi terbabit terletak di tangan pengundi muda, Dr Annuar berkata BN harus mengambil kira perkara tersebut. Katanya, lebih 40 peratus pengundi di Parlimen Sibu adalah mereka yang berumur 40 tahun ke bawah dan golongan ini kebanyakan terdedah kepada maklumat yang terdapat dalam laman sesawang. “Namun kita harus ingat, tidak semua apa yang ada dalam laman sesawang itu betul atau benar. Ingin saya nasihati di sini apa juga maklumat, ia harus diselidik terlebih dahulu. “Ini kerana kita tidak tahu siapa yang menulisnya dan ramai yang mudah percaya walaupun mereka tidak tahu siapa yang bertanggungjawab d isebaliknya,” jelas beliau.

Bagi mendekati pengundi muda terbabit, Dr Annuar memberitahu beliau menggunakan laman sosial seperti Facebook, selain melancarkan laman sesawangnya sendiri yang diberi wajah baharu tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment