Oleh ZAAIN ZIN
utusansarawak@utusan.com.my
ALFRED Jabu Numpang (depan, tujuh dari kiri) bersama wakil JKKK yang menerima bantuan kerajaan pada Majlis Bersama Rakyat di Bario, Sarawak, baru-baru ini.
BARIO 19 Jan. - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM17 juta untuk melaksanakan Projek Pembangunan Industri Beras Bario yang telah bermula sejak akhir tahun lalu.
Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, projek melibatkan kawasan tanah tinggi 800 hektar di daerah itu dijangka mengambil masa empat tahun sebelum penduduk berpeluang menikmati hasilnya.
"Kerajaan negeri dan Persekutuan menyedari kawasan Bario berpotensi untuk menjadi salah satu penyumbang utama kepada sumber ekonomi negara menerusi pengeluaran beras.
"Justeru, sejak Disember lalu, kerajaan negeri mengamanahkan Syarikat Bario Ceria Sdn. Bhd. untuk melaksanakan projek ini, merangkumi aktiviti penyelidikan dan pembangunan beras serta merancang strategi pemasaran hasilnya kelak," katanya ketika berucap pada majlis bersama rakyat di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Menteri Muda Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Stephen Rundi dan Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum.
Pada majlis itu, 11 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Bario menerima bantuan RM70,000 daripada kerajaan negeri.
Selain itu, Alfred Jabu turut mengumumkan sumbangan tambahan RM10,000 untuk kerja-kerja menaik taraf balai raya Bario.
Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mencari jalan untuk membawa masuk pembangunan di daerah itu bagi memastikan penduduk menikmati kemudahan sama seperti daerah-daerah lain di negeri ini.
"Walaupun kebanyakan masih di peringkat awal, kita sentiasa menambah baik kemudahan sedia ada dari semasa ke semasa.
"Ini membuktikan bahawa kerajaan BN sentiasa prihatin dengan kebajikan penduduk di luar bandar, khususnya di kawasan-kawasan terpencil seperti Bario," katanya.
No comments:
Post a Comment