Saturday, 28 January 2012

Tingkatkan pemantauan kegiatan murtadkan orang Islam: Daud

Posted on January 28, 2012, Saturday

KUCHING: Agensi-agensi Islam di negeri ini disarankan meningkatkan pemantauan terhadap kegiatan memurtadkan orang Islam yang dipercayai dipengaruhi dua faktor, iaitu hilang kepercayaan terhadap agama dan kemiskinan.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman bagi menangani masalah murtad di negara ini.
Beliau menjelaskan, dua faktor tersebut merupakan penyumbang kepada permasalahan itu yang mana ada dalam kalangan orang Islam dimurtadkan kerana terpengaruh dengan wang disebabkan kesempitan hidup. “Dua punca seseorang itu murtad, satu kehilangan kepercayaan terhadap agama dan kedua masalah ekonomi hidup yang mana pihak sebelah (orang yang menjalankan aktiviti memurtadkan orang Islam) memberi wang untuk itu. “Justeru, agensi-agensi Islam patut memantau kedua-dua faktor ini terutama dari segi akidah mereka dengan mengadakan lebih banyak program-program keagamaan khasnya golongan belia dan golongan miskin agar tidak dipengaruhi godaan itu,” tegasnya yang juga Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur.

Tambahnya, aktiviti mendakwahkan semula golongan yang sudah sesat juga perlu diberi perhatian sewajarnya bagi mengurangkan masalah tersebut.

Sementara itu, dalam isu berlainan, Daud menasihati agar syarikat-syarikat swasta atau premis-premis jualan yang mahu mendapatkan pekerja tidak memaksa pekerjanya terutamanya wanita Islam untuk tidak memakai tudung kerana melibatkan sensitiviti agama. “Kita di Malaysia pelbagai kaum, kalau mereka menggunakan tudung tidak menganggu pekerjaan patut dibenarkan. “Ini kerana kita perlu faham akan sensitiviti keagamaan janganlah dipaksa, kepada pihak yang berbuat demikian berharap boleh mempertimbangkannya kerana melibatkan sensitiviti agama dan saya berharap perkara sebegini tidak berlaku,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang wanita Islam yang mendakwa dipaksa membuka tudung jika mahu bekerja di sebuah premis di Satok baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment