Monday, 30 January 2012

Visi Senator Doris

Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my
2012/01/30

SENATOR Doris ketika mengangkat sumpah sebagai Timbalan Dipertua Dewan Negara di Parlimen, Khamis lalu.
SENATOR Doris ketika mengangkat sumpah sebagai Timbalan
Dipertua Dewan Negara di Parlimen, Khamis lalu.

Anggap jawatan kanan Dewan Negara yang pertama bagi wanita Sarawak satu amanah besar

WALAUPUN masyarakat sudah tidak mengamalkan diskriminasi gender dalam banyak perkara, namun secara halusnya wanita masih dianggap warga kelas kedua kerana masih ada yang berprasangka apabila golongan ini mengetuai tampuk jabatan mahupun organisasi besar.
Hakikatnya, masa sudah membuktikan berkeupayaan memegang tugas besar mahupun tanggungjawab berat yang diserahkan kepada mereka, termasuk kejayaan dicatat membabitkan bidang yang selama ini dimonopoli lelaki.
Wanita mesti mahu terus menimba ilmu, mesti berani mencuba semua bidang, berdaya saing dan mempunyai semangat berdikari bagi memperbaiki dan meningkatkan lagi status diri sendiri. - Doris Sophia Brodie, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara (TYDDN).
Justeru, pelantikan Senator Doris Sophia Brodie sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara (TYDDN) seperti diumumkan Khamis lalu, melakar kejayaan manis kepada wanita Malaysia secara amnya dan pastinya wanita Sarawak.

Di sebalik tutur lembutnya, wanita berusia 52 tahun ini bukan calang-calang, sebaliknya sudah masak dengan selok-belok dan liku-liku hal ehwal pentadbiran dan politik sehingga membolehkannya menduduki jawatan penting berkenaan.

Namun, sebelum berjaya, anak Sarawak ini ‘bertatih’ mencari pengalaman. Berasal daripada keluarga yang boleh dikatakan ‘bukan orang senang’, Doris adalah anak sulung tiga beradik, manakala mendiang ayahnya berasal dari Rumah Panjang di Entebar Undop dan ibunya dari Merbang, Suai di Sarawak.

Wanita Iban berkulit putih ini adalah pemegang diploma bidang Pengurusan Perniagaan dan Perhubungan Awam dan pernah memegang jawatan Ketua Pentadbir sebuah agensi di Sarawak sebelum meletak jawatan 1995 untuk menceburi bidang politik.
Mengulas pelantikannya, riak suara Yang Berhormat (YB) ini jelas menyerlahkan kegembiraannya yang bersulamkan terharu dengan kepercayaan diberikan kerana belum pernah ada wanita Sarawak yang memegang tugas TYDDN.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kerana Dewan Negara dengan sebulat suara menyokong perlantikan saya, termasuklah beberapa individu yang menyokong pencalonan saya terutama sekali kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kerajaan Malaysia.

“Tidak dilupakan saya ingin ucapkan terima kasih kepada barisan kepemimpinan Parti Rakyat Sarawak (PRS) terutama Presiden parti, Tan Sri Dr James Masing atas cadangan beliau (menyerahkan nama). Tidak ketinggalan, semua ahli PRS,” katanya kepada RATU.

Tidak melupakan tanah asalnya, Sopia menganggap pelantikannya sebagai TYDDN juga menjadi pemangkin kepada wanita di Sarawak terutama sekali kepada mereka yang tinggal di pedalaman kerana terbukti Perdana Menteri dan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya komited ke arah meningkatkan peranan wanita dalam semua bidang.

“Tidak dinafikan ramai wanita di Sarawak yang berkaliber. Saya percaya jika diberi peluang dan dorongan yang sewajarnya, kehebatan serta kehandalan mereka akan lebih terserlah.

“Bagi saya pelantikan ini memang saya lihat sebagai penghormatan kepada wanita Sarawak terutama sekali kepada masyarakat Dayak memandangkan ini adalah kali pertama jawatan berkenaan disandang wanita berbangsa Iban dari Sarawak,” katanya.

Meskipun begitu, wanita perlu lebih agresif dalam merintis banyak peluang pekerjaan mahupun pelbagai bidang lain kerana apabila wanita maju, secara automatik mereka akan diiktiraf serta diperakui di peringkat yang lebih tinggi.

“Sehingga kini pencapaian wanita masih perlu dipertingkatkan lagi di semua bidang walaupun angka wanita di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta agak tinggi.

“Dengan galakan serta komitmen kerajaan BN dalam memastikan wanita tidak terpinggir di negara ini maka saya percaya pencapaian wanita di Sarawak khasnya dan di Malaysia amnya akan lebih menyerlah pada masa akan datang,” katanya.

Begitupun, Doris berpendapat wanita di Malaysia terutama di Sarawak harus terus berusaha mempertingkatkan kredibiliti diri sendiri dan tidak boleh bergantung kepada kuota semata-mata. Pencapaian wanita sebaiknya harus berasaskan merit dan keupayaan diri sendiri.

“Wanita mesti mahu terus menimba ilmu, mesti berani mencuba semua bidang, berdaya saing dan mempunyai semangat berdikari bagi memperbaiki dan meningkatkan lagi status diri sendiri.

“Jangan berpuas hati dengan kedudukan di tempat kedua, beri komitmen seratus peratus terhadap apa yang diusahakan kerana untuk menjadi wanita berjaya, adalah sangat penting untuk anda memainkan peranan yang bijak dan berkesan sebagai wanita berkerjaya, ahli politik, isteri, ibu dan anak perempuan mahupun sebagai nenek serta rakan,” katanya yang mengamalkan prinsip perlu jujur dan ikhlas serta jangan melakukan kesilapan dalam pekerjaan.

Beliau yakin, tanpa hubungan yang ikhlas dan setia, pasti tidak wujud sesuatu yang positif. Dan, sebagai menghargai peluang serta kepercayaan diberikan pihak pentadbiran, Doris mempunyai resolusi tersendiri dalam menangani corak serta perjalanan politik yang bakal dilalui selepas ini.

“Dengan penghormatan dan peluang yang diberi, saya akan berusaha menjalankan tugas serta tanggungjawab sebaik mungkin, mengukuhkan lagi sokongan wanita terhadap Kerajaan BN terutama sekali bagi yang tinggal di pedalaman mahupun luar bandar.

“Hanya kerajaan BN sajalah yang boleh membawa kesejahteraan, kemakmuran dan kemasyhuran kepada rakyat Malaysia melalui program transformasi kerajaan,” katanya.

Bagaimana beliau menguruskan masanya antara kerjaya dan keluarga? Meskipun berhadapan tugas mencabar dalam kerja politik, Doris tetap mengutamakan urusan kekeluargaan dengan membahagikan masa sebaik mungkin untuk memastikan semua urusan berjalan lancar.

“Saya memang sentiasa sibuk sebelum ini. Namun tanggungjawab ini tidak akan memberi perubahan yang besar kerana yang penting saya harus pandai membahagi masa agar segala tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan efisien.

“Anak saya semuanya sudah dewasa dan masing-masing bekerja, namun saya sentiasa mengingatkan mereka agar berpegang kepada prinsip hidup yang sama seperti apa yang saya lakukan, ikhlas dan jujur dalam melakukan pekerjaan.

“Apabila ada masa lapang atau berkesempatan, saya akan menonton wayang atau berkelah dengan mereka selain melancong bersama,” katanya.

PROFIL: Senator Doris Sophia Brodie
  • Berketurunan Iban

  • Pendidikan:
    Diploma Pengurusan Perniagaan, ICS Learning Centres, Galsgow, Scotland.Diploma Perhubungan Awam Institut Perhubungan Awam Malaysia.

  • Politik:
    Ahli Dewan Senator Malaysia.
    Naib Pengerusi Wanita Barisan Nasional Sarawak.
    Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS)
    Ketua Wanita PRS.
    Ketua Divisyen Wanita Senadin.

  • Dikurniakan anugerah Ahli Bintang Sarawak oleh Yang Di Pertua Negeri of Sarawak pada 1997, Pegawai Bintang Sarawak (2010), dinamakan sebagai Ahli Dewan Negara pada 2010 oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, turut membabitkan diri dalam Pertubuhan Parlimen Komanwel sejak 2010.
  • No comments:

    Post a Comment