Posted on January 21, 2012, Saturday
MIRI: Rakyat terus diingatkan agar tidak menggadai masa depan dan kebajikan mereka di tangan pembangkang, yang hanya pandai berkata-kata manis namun terbukti gagal melaksanakan janji mereka.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, kerajaan mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat dan ini terbukti dengan rekod cemerlang dari dahulu hingga sekarang. “Kerajaan memahami masalah rakyat kesan daripada peningkatan kos hidup, justeru banyak usaha dilaksanakan untuk mengurangkan beban ini. Contohnya pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) untuk rakyat yang berpendapatan RM3,000 ke bawah,” katanya pada Majlis Penyampaian Baucar BRIM di Dewan Suarah Miri semalam.
Seramai 1,000 daripada 4,749 penduduk dari kawasan Parlimen Miri menerima baucar bernilai RM500 manakala selebihnya akan mendapat baucar masing-masing di Pejabat Residen mulai minggu depan.
Chin yang juga Ahli Parlimen Miri berkata, rakyat bersyukur kerana Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak begitu prihatin dengan kebajikan rakyat. “Pembangkang hanya pandai berkata… jika menang begini, jika menang begitu, namun hakikatnya mereka tidak akan menunaikan janji. Itu pun hanya jika, sekadar janji manis untuk memerangkap rakyat,” ujar Chin.
Beliau mahu rakyat terus memberi sokongan kepada kerajaan semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
Mengenai pengagihan BRIM, Chin mengingatkan penerima agar menggunakan duit itu dengan sebaik mungkin dan mengelakkan pembaziran. “Bagi penerima kaum Cina, anggaplah BRIM ini duit angpau sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Bagi yang tidak sempat menerima baucar hari ini (semalam), saya berharap anda bersabar,” katanya.
Hadir sama Menteri Muda Komunikasi Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Politik kepada Chin Datuk Sebastian Ting, Residen Miri Antonio Kahti Galis dan Pegawai Daerah Miri, Boniface Intang Apat.
No comments:
Post a Comment