Wednesday, 25 January 2012

DAP perlu nyatakan manifesto perjuangan

 


MOHD. Shafie Apdal hadir pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) di Kota Kinabalu, semalam. Turut hadir, Joseph Pairin Kitingan (duduk kiri), Sari Nuar (berdiri depan, tiga kiri) dan Yee Moh Chai (berdiri, dua kiri).


KOTA KINABALU 24 Jan. - DAP perlu mendedahkan bilangan ahli-ahlinya yang berbangsa Melayu dan juga pada masa sama menyenaraikan rancangannya untuk pembangunan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, parti pembangkang itu juga perlu membuktikan manifesto mereka yang didakwa untuk perjuangan dan membela hak semua kaum seperti mana yang telah dibuktikan oleh UMNO.

Katanya, UMNO yang disertai oleh 100 peratus golongan bumiputera membuktikan bahawa parti itu juga memperjuangkan hak semua kaum dan agama, malah tidak pernah bertindak memilih bulu dalam memberi bantuan kepada rakyat. "DAP perlu menyatakan dengan jelas rancangan dan manifesto mereka untuk membela serta memperjuang nasib semua lapisan masyarakat, bukan sekadar bercakap atau melaungkannya bagi menarik perhatian orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) di sini hari ini. Hadir sama, Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah, Datuk Seri Sari Nuar; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Yee Moh Chai dan Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri yang juga Ketua Pemuda PBS, Datuk Jahid Jahim.

Mohd. Shafie berkata, jika benar DAP sebuah parti berasaskan berbilang kaum seperti yang didakwa, mereka perlu berani memperjelaskan kepada orang ramai mengenai agenda mereka untuk membela nasib masyarakat berbilang kaum.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh DAP sangat bercanggah dengan mesej yang cuba disampaikan kepada orang ramai.

Katanya, parti pembangkang itu hanya pandai memperdaya masyarakat dengan janji-janji kosong dan orang ramai sudah mengenali helah yang digunakan mereka untuk menarik perhatian dan menjayakan agenda politik parti itu sahaja.

Mengenai sikap terbuka Barisan Nasional (BN) untuk menerima bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali, beliau berkata, ia bergantung kepada perbincangan kepimpinan tertinggi parti.

Katanya, ia merupakan amalan biasa di dalam BN untuk membincangkan satu-satu perkara bagi mendapat keputusan kolektif. "Kita tidak ada kuasa mutlak untuk menentukan satu-satu perkara, sebaliknya ia dibincangkan di peringkat tertinggi untuk menentukan masuk atau keluar seseorang ke dalam parti," katanya.

No comments:

Post a Comment