by Wan Ali Amit. Posted on January 28, 2012, Saturday
UNTUK PRASEKOLAH: Fatimah (tiga kanan) dan Judith menyampaikan
sumbangan kepada Sulaiman disaksikan tetamu lain di Kuching, semalam.
Golongan wanita generasi baharu berpeluang sebagai peneraju kepimpinan negeri pada masa akan datang
KUCHING: Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah percaya tidak mustahil golongan wanita generasi baharu diberi peluang sebagai peneraju tampuk kepimpinan negeri pada masa akan datang.
Fatimah berkata, generasi muda wanita masa kini telah ramai berpendidikan tinggi dengan memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan swasta malah ramai juga golongan profesional.
Justeru, katanya, dengan kewibawaan yang dimiliki oleh golongan wanita beliau percaya mereka mampu menerajui pelbagai bidang politik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. “Dengan kemampuan golongan wanita yang telah diberi peluang membina keupayaan mereka dalam pelbagai bidang, saya percaya tidak mustahil wanita kita berpeluang sebagai peneraju,” katanya diminta mengulas pelantikan Senator Doris Sophia Brodie sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara.
Menurut Fatimah, sememangnya diakui ramai golongan wanita terpelajar negeri ini yang telah diberi peluang untuk memegang pelbagai jawatan tinggi justeru tidak mustahil pada suatu hari kelak mereka diberi peluang memegang tampuk negeri.
Beliau menarik perhatian pelantikan Doris (Sophia) sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara itu akan menjadi aspirasi golongan wanita negeri ini terutamanya generasi muda. “Saya percaya golongan wanita generasi muda akan terus memberi fokus membina upaya diri mereka dalam mengejar kejayaan membanggakan,” katanya.
Fatimah berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-kanak Sarawak (MPAKS) di pejabatnya di sini semalam.
Hadir sama Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus, Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Rodziah Morshidi dan Ahli Majlis MPAKS, Datin Seri Judith Ling.
Terdahulu, Fatimah menyampaikan peralatan pengajaran dan pembelajaran pendidikan awal kanak-kanak sumbangan syarikat swasta kepada Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) Lebai Mentali, Lundu.
Hadir menerima sumbangan itu ialah Guru Besar SK Lebai Mentali, Lundu Sulaiman Ragus dan guru tadikanya, Betty Putit.
Fatimah berkata, sememangnya kerajaan memberi tumpuan menyeluruh dalam pendidikan awal kanak-kanak dengan melakukan pelbagai program untuk standard kualiti pendidikan prasekolah di negeri ini.
Katanya, program terbabit meliputi lima dimensi seperti aspek fizikal, program pembelajaran, kebajikan dan kesejahteraan murid, personel dan pengurusan. “Kita berharap dengan program-program terbabit standard kualiti pendidikan prasekolah di peringkat kerajaan dan swasta dapat diperkasakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment