Monday, 30 January 2012

Golongan ekstrem mementingkan diri

 

by Kepu Sidi. Posted on January 30, 2012, Monday
BERI ANGPAU: Teng dan Ding menagihkan angpau kepada kanak-kanak yang merupakan anak kepada ahli Persatuan Chiang Chuan Sarikei, semalam.

Isu dibangkit kelompok kecil golongan ini libatkan sesuatu kaum tidak logik, tidak normal

SARIKEI: Isu-isu yang dibangkitkan sekelompok kecil golongan ekstrem terutama yang melibatkan hak sesuatu kaum secara dasarnya tidak logik dan tidak normal.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Datuk David Tang berkata, kebanyakan isu yang dibangkitkan oleh golongan ini adalah lebih kepada bentuk kepentingan peribadi sahaja dan bukannya mewakili suara ramai rakyat di negara ini terutama yang lebih cintakan kedamaian.
“Pada pendapat saya, usaha pihak pembangkang yang melaungkan konsep ‘Ubah’ itu sebagai landasan perjuangan mereka terutama dalam usaha untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) jelas menggambarkan ia lebih kepada bentuk sifat kepentingan diri.
“Keadaan ini amat jelas berlaku apabila kita melihat kepada apa yang diperjuangkan dan ditegakkan oleh mereka selama ini hanya untuk mewakili seseorang individu sahaja.
“Namun begitu kebanyakan kesan yang terjadi akibat daripadanya, terpaksa ditanggung oleh rakyat sendiri manakala manfaatnya lebih banyak berpihak kepada mereka.
“Bagi kita, perkara yang paling bagus untuk kita lakukan sekarang ialah membaiki segala kekurangan yang ada selama ini agar kepuasan maksimum dapat dicapai dan memberi impak positif kepada semua pihak,” kata Teng.
Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Chiang Chuan Sarikei, semalam.
Di majlis yang sama, Ahli Parlimen Sarikei Ding Kuong Hiing yang turut hadir sama pada majlis tersebut, dalam ucapannya berkata, selama ini persatuan berkenaan telah banyak memberi sumbangan dan sokongan terhadap pentadbiran kerajaan BN.
“Kalau kita hendak ubah, haruslah berubah kepada bentuk yang lebih baik dan bukannya menjadi lebih teruk ataupun terpaksa mengorbanan keamanan negara yang kita cintai ini kerana itu bukannya jalan penyelesaian terbaik.
“Sebelum kita melakukan sesuatu perkara terutama yang melibatkan kepentingan bersama, kita seharusnya memikirkan ia dengan sebaiknya dan jangan melakukan dengan membabi-buta kerana tindakan yang sedemikian rupa hanya mendatangkan kesan negatif,” kata Ding.
Majlis tersebut diadakan di bangunan Persatuan Chiang Sarikei dan dihadiri sekitar 100 orang yang merupakan ahli dan keluarga kepada persatuan terbabit.
Di majlis tersebut juga, Ding turut menyampaikan geran bernilai RM5,000 kepada persatuan terbabit.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Persatuan Chiang Kapitan Ling Shi Tien serta beberapa ketua masyarakat Cina yang lain seperti Temenggung Ling Su Ming.

No comments:

Post a Comment