Saturday, 28 January 2012

Boleh hancur ekonomi negara'

Oleh Azmi Md Deros, Adha Ghazali dan Siti Fatimah Mohamed Anwar
bhnews@bharian.com.my
2012/01/28

NAJIB bersalaman dengan orang ramai ketika melawat Pasar Sehari Behor Lateh, Kangar, semalam.
NAJIB bersalaman dengan orang ramai ketika melawat Pasar Sehari 
Behor Lateh, Kangar, semalam.

Janji ditabur pembangkang tidak realistik untuk jangka panjang: PM

KANGAR: Datuk Seri Najib Razak, berkata tindakan pembangkang menabur janji manis, termasuk menghapuskan tol dan bayaran balik Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta menurunkan harga minyak jika menang pilihan raya adalah resipi yang akan membawa kehancuran ekonomi negara.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, rakyat perlu bijak menilai kerana kerajaan yang bertanggungjawab perlu memikirkan kesan jangka panjang ekonomi negara dan bukannya menawarkan pelbagai janji manis bagi meraih undi untuk jangka masa pendek. Kita perlu lihat kesan dalam jangka panjang dan apa yang boleh kita bantu kurangkan beban rakyat dalam jangka pendek. Tidak bererti semua untuk masa akan datang, tetapi membantu meringankan beban rakyat yang tidak merugikan negara untuk jangka panjang. - Datuk Seri Najib Razak Katanya, pengalaman negara rantau Eropah adalah contoh terbaik dijadikan pengajaran apabila mereka terjerumus dalam ekonomi yang hina dari segi maruah dan berlaku dalam masa sekelip mata.

“Kita perlu lihat kesan dalam jangka panjang dan apa yang boleh kita bantu kurangkan beban rakyat dalam jangka pendek. Tidak bererti semua untuk masa akan datang, tetapi membantu meringankan beban rakyat yang tidak merugikan negara untuk jangka panjang. 

“Adalah tidak realistik nak hapuskan tol dan hutang PTPTN sebanyak RM40 bilion kerana pada masa akan datang semua pelajar yang dapat pinjaman PTPTN akan tuntut kerajaan lupuskan pinjaman... ini resipi untuk kemusnahan ekonomi,” katanya selepas program Tinjauan Mesra Rakyat di Simpang Empat, di sini semalam.

Hadir sama, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan bekas Menteri Besar yang juga Ketua UMNO Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim. 

Perdana Menteri juga menjelaskan, bantuan kepada rakyat yang dilaksanakan kerajaan bukan untuk meraih undi atau sokongan semata-mata, sebaliknya berdasarkan pertimbangan mendalam mengikut kemampuan ekonomi negara.

Beliau juga berkata, kerajaan mampu menunaikan janji memberikan wang RM500 melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) disebabkan perolehan hasil kerajaan meningkat RM26 bilion tahun lalu.

Perdana Menteri yang meninjau pasar sehari Bohor Lateh juga mengumumkan peruntukan RM1.1 juta untuk membina bumbung bagi memudahkan peniaga di situ mencari rezeki.

Katanya, ketika bersalaman dengan masyarakat di pasar itu, ramai berterima kasih kepada kerajaan kerana menghulurkan bantuan RM500 melalui BR1M selain RM100 kepada pelajar kerana mereka menikmatinya secara terus.

Sementara itu, ketika berucap sempena Program Tinjauan Mesra di FELDA Chuping, di Padang Besar, Najib memberi jaminan nasib semua warga FELDA akan terus dibela walaupun selepas penyenaraian anak syarikatnya, FELDA Global Venture Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia yang dijangka April atau Mei ini.

“Pada saya FELDA tidak ubah seperti lombong emas yang menunggu masa untuk mengeluarkan jongkongnya. Justeru, kita sedang berusaha mencari jalan untuk melonjakkan potensi FELDA ke tahap maksimum, bukan saja sebagai badan yang berjaya dalam negara, tetapi pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan berita gembira kepada warga FELDA Perlis apabila meluluskan peruntukan RM900,000 untuk menaik taraf masjid dan longkang di tiga kawasan FELDA, iaitu di Rimba Mas, Chuping dan Mata Ayer.

Sementara itu, Najib yakin Perlis akan kekal menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) jika tokoh politik utama di negeri itu dapat mengekalkan suasana harmoni dan perpaduan di kalangan mereka.

Justeru, beliau berkata, hubungan baik Md Isa dengan Shahidan dan seorang lagi bekas Menteri Besar yang juga veteran UMNO Perlis, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawan Teh memberi gambaran positif kepada masa depan BN di negeri ini.

Di KUALA KETIL, Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad menafikan dakwaan FELDA akan menanggung defisit pendapatan antara RM1.2 bilion hingga RM1.5 bilion apabila menyenaraikan FGVH. 

No comments:

Post a Comment