Saturday 21 January 2012

Pembangunan tanah untuk rakyat


Posted on January 21, 2012, Saturday
PAMPASAN: Jabu menyampaikan wang pampasan kepada salah seorang pemilik tanah yang terlibat di Betong.
PAMPASAN: Jabu menyampaikan wang pampasan kepada salah seorang 
pemilik tanah yang terlibat di Betong.

Kerajaan akan terus bela hak rakyat, bayar pampasan sewajarnya: Jabu

BETONG: Kerajaan memerlukan tanah rakyat sebagai laluan kepada kejayaan pembinaan projek oleh kerajaan demi kepentingan rakyat sendiri, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu.

Pada masa sama, menurut Jabu, kerajaan juga akan terus membela hak rakyat dan tidak akan mengetepikan hak tersebut dengan membayar ganti rugi yang berpatutan. “Terbukti, pada hari ini dapat kita lihat bahawa pampasan seperti ini bukannya propaganda seperti yang dicanang oleh pihak pembangkang, tetapi ia satu dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi memberi jaminan kepada pemilik yang menyerahkan tanah mereka untuk melaksanakan projek kemudahan asas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong bertempat di Bilik Seminar, Menara Utama Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri dekat sini, semalam. “Projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk malahan secara tidak langsung ia mampu meningkatkan taraf hidup rakyat yang tinggal di kawasan terbabit,” tambahnya.

Jelasnya, tanggungjawab sebagai pemimpin adalah meneruskan usaha pembangunan di Betong agar ianya seiring dengan agenda pembangunan negara. “Pembangunan modal insan, menambah baik program pembangunan kemahiran dan keusahawanan serta pembangunan guna tenaga profesional akan terus diberi perhatian. “Kerajaan juga menekankan usaha penjagaan alam sekitar dengan pembangunan yang lebih teratur dengan berkonsepkan kejiranan dalam taman bagi memberikan penempatan yang harmoni dan dinamik,” ujarnya.

Pada majlis itu, seramai 171 pemilik tanah di bahagian ini menerima pampasan berjumlah RM11,428,331.90 selepas tanah mereka digunakan oleh kerajaan negeri bagi melaksanakan lima projek di sini.

Lima projek itu ialah Jalan Debak-Kampung Babu-Kampung Bungey-Kampung Lallang, Debak, Jalan Labang-Rh Bebuling Baroh-Skim Tg. Sebekut, Betong, Jalan Kampung Paloh-Kampung Beting Maro, Kabong, Taman Keluarga, Betong dan Tanah Simpanan Kerajaan, Betong.

Serentak itu, Jabu menyampaikan cek bernilai  RM84,720 kepada Rumah Panjang Mallang Ungap, Lubau, Layar dekat sini yang terjejas akibat kebakaran baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah Embas, Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Jelaing Mersat, ADUN Beting Maro Razaili Ghapor dan Timbalan Residen Bahagian Betong Pathi Kerni.

No comments:

Post a Comment