Tuesday 31 January 2012

Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Ahad ini yang teramai di Miri

Posted on January 31, 2012, Tuesday

PERSIAPAN: (Dari kiri) Aziz, Ripin, Putit, Daud dan Shamshudin bercakap kepada media selepas mesyuarat sambutan Maulidur Rasul di MBM semalam.

MIRI: Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak pada hari Ahad ini (5 Februari) adalah yang teramai pernah dianjurkan di sini sejak lapan tahun lalu.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman memberitahu, kali terakhir sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di sini ialah pada 2004 dan berharap sambutan tahun ini berjalan dengan lancar seperti yang telah dirancang.
“Sebanyak 132 kontinjen terlibat dalam perarakan tahun ini dengan anggaran seramai 7,700 peserta iaitu antara penyertaan terbesar dalam sambutan Maulidur Rasul yang pernah kami anjurkan.” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat ahli-ahli jawatankuasa sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak di pejabat Majlis Bandaraya Miri (MBM) semalam.
Turut menyertai perarakan ialah Pemangku Yang di-Pertua Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan isteri, Datin Amar Fatimah Mohd Iskandar.
Turut serta ialah Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib.
Perarakan dijadual bermula jam 9 pagi sejauh empat kilometer bermula dari pekarangan Stadium Miri.
“Sekiranya cuaca tidak mengizinkan, kami akan memindahkan lokasi aktiviti di Stadium Tertutup. Tetapi kita berdoa dan berharap agar cuaca baik pada hari itu kelak,” jelasnya.
Daud berkata, lima kontinjen yang mewakili kaum-kaum Bumiputera lain di sini termasuk dari Dewan Perniagaan dan Industri Cina (DPCI) Miri akan menghadiri perhimpunan ini.
Penyertaan kontinjen bukan Islam itu katanya menggambarkan perpaduan dan persefahaman antara pelbagai kaum di sini di bawah semangat 1Malaysia.
Kontinjen dibahagikan kepada kategori-kategori jabatan kerajaan/badan berkanun, swasta/institusi kewangan, masjid/surau, persatuan, institusi pengajian tinggi/pusat kemahiran, sekolah menengah, sekolah kebangsaan, tadika, kumpulan hadrah dan kategori khas – persatuan/kelab bukan Islam.
Sambutan Maulidur Rasul di sini bermula pada hari Sabtu (4 Februari) dengan penganjuran majlis zikir maulud dan ceramah agama di masjid At-Taqwa bermula jam 5.30 petang.
Antara program-program sampingan yang dianjurkan ialah pertandingan zikir marhaban (13 hingga 15 Januari), pertandingan nasyid/deklamasi puisi (27 hingga 29 Januari), Forum Ehwal Islam/ ceramah agama (28 Januari), pertandingan seni khat (28 Januari), pertandingan hadrah (28 Januari), pertandingan futsal (28/29 Januari), Seminar Pemantapan Integriti Perkhidmatan Awam (2 Februari), ekspo jualan dan pameran (3 hingga 5 Februari), Khemah Remaja Wanita (3 hingga 6 Februari), Seminar Undang-undang Keluarga Islam (8 Februari), Explore Masjid (11 Februari) dan Pertandingan Pengkisahan Sirah Rasul (14 dan 15 Mac).
Dalam pada itu, hadir sama semasa mesyuarat semalam ialah ADUN Lambir Ripin Lamat, Residen Miri Antonio Kahti Galis, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Abang Shamshudin Abang Seruji dan Timbalan Residen Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf.
Tema sambutan tahun ini ialah Persefahaman Asas Perpaduan Ummah.

No comments:

Post a Comment