Monday, 30 January 2012

Calon mampu menang perlu sokongan

Oleh Manja Ismail

2012/01/30

ANTARA faktor utama kekalahan calon Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada pilihan raya kecil atau umum ialah sabotaj di kalangan ahli terutama pemimpin pada peringkat bahagian, bukan setakat sudah lama disedari parti tetapi turut diakui parti lawan.

Tindakan memboikot dan mensabotaj calon parti sendiri atau cantas mencatas sehingga timbul istilah ‘cah keting’ di Kelantan, ‘peteh keting’ di Terengganu atau ‘kerat’ di negeri utara Semenanjung, menyebabkan BN kehilangan Kedah pada pilihan raya umum lalu.
Memang bukan rahsia bahawa kemenangan PAS sehingga berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Kedah bukan kerana parti itu semakin kuat tetapi disebabkan jentera pilihan raya UMNO lemah akibat sabotaj ahli sendiri di sebahagian besar kawasan yang dulunya kubur kuat UMNO.
Budaya mensabotaj parti sendiri setiap kali pilihan raya bukan setakat menyukarkan usaha BN menebuskan kekalahan pada 2008 tetapi menyebabkan rakyat terutama generasi muda terus menjauhi UMNO.

Bagaimana rakyat boleh mengharap pembelaan UMNO, jika melihat perbuatan pemimpin pada peringkat cawangan atau bahagian tidak menyokong calon parti sendiri. Yang jelas, mereka yang mensabotaj parti ialah golongan mementingkan diri atau kelompok sendiri daripada kemenangan UMNO.

Justeru, keputusan Majlis Tertinggi UMNO pada mesyuaratnya Jumaat lalu untuk menggerakkan Jawatankuasa Disiplin parti lebih awal sebelum pilihan raya bagi memantau salah laku ahli yang mungkin tidak berpuas hati dengan keputusan pucuk pimpinan terutama membabitkan calon, masih belum terlambat untuk menangani budaya buruk itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, berkata pemantauan awal oleh Jawatankuasa Disiplin diharap dapat mengekang dan mengawal perbuatan tidak bertanggungjawab mereka mengkhianati parti ketika pilihan raya nanti.
Menurut Perdana Menteri, sebagai sebuah parti besar, kemungkinan ahli parti yang melakukan khianat atau curang tetap ada terutama di kalangan penyokong mereka yang tidak terpilih sebagai calon pilihan raya.

“Kita tak nak sesuatu berlaku selepas pilihan raya, kesannya sudah berlaku, lebih baik kita bersikap pro aktif. Setiap pilihan raya pasti ada masalah, dalam parti yang besar memang adanya perbuatan yang bertentangan dengan parti, ada yang tidak dapat jadi calon dan penyokongnya menyokong parti lawan dan elok kita ambil tindakan lebih awal,” kata Najib selepas mempengerusikan mesyuarat MT, Jumaat lalu.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin pula berkata, jawatankuasa disiplin menimbang kemungkinan menambah bilangan anggotanya bagi membolehkan lebih banyak pasukan pemantau ditubuhkan untuk menangani masalah ahli mensabotaj parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ini adalah kali pertama jawatankuasa disiplin memantau salah laku ahli sebelum pilihan raya umum diadakan. Sebelum ini, jawatankuasa itu hanya membuat pemantauan selepas penamaan calon sehingga hari mengundi mereka menyiapkan laporan untuk tindakan Majlis Tertinggi selepas itu.

Langkah pemantauan awal amat penting lagi sekarang kerana UMNO dijangka mengetengahkan lebih ramai calon muka baru ‘mampu menang’ pada pilihan raya umum kali ini. Pada Perhimpunan Agung UMNO Disember lalu, Najib sendiri membayangkan calon ‘mampu menang’ itu tidak semestinya penyandang jawatan kanan UMNO pada peringkat bahagian.

Ini berdasarkan hakikat bahawa calon mampu menang tidak semestinya terdiri daripada mereka yang berjawatan dalam parti saja kerana UMNO tidak mungkin menang tanpa sokongan rakyat bukan ahli atau pengundi atas pagar di sesuatu kawasan.

Yang menjadi persoalan ialah, apakah pemimpin parti di kawasan berkenaan yang berasakan diri mereka layak menjadi calon atau wakil rakyat sedia ada, boleh menerima hakikat tidak dicalonkan, sebaliknya muka baru yang mungkin ahli biasa UMNO menjadi calon?

Sejarah membuktikan sebahagian daripada golongan yang kecewa kerana tidak menjadi calon ini, walaupun tidak mensabotaj parti secara terang-terangan, memboikot calon muka baru atau melarang penyokong mereka daripada bekerja keras menggerakkan jentera pilihan raya parti.

Bagaimanapun, perbuatan sabotaj ini tidak berlaku selagi calon tidak diumumkan secara rasmi oleh pucuk pimpinan parti. Kerana itu, timbul tanda tanya apakah keputusan Majlis Tertinggi menggerakkan pemantauan jawatankuasa disiplin lebih awal bermakna UMNO kali ini akan menamakan calon pilihan rayanya lebih awal?
Ramai berpendapat langkah itu, selain dapat memperkenalkan calon berkenaan, terutama muka baru kepada umum lebih lama sebelum tempoh pilihan raya sebenar, memudahkan parti mengambil tindakan jika terhidu cubaan mensabotaj.

Kita percaya semua faktor ini diambil kira oleh Majlis Tertinggi dan Jawatankuasa Disiplin UMNO apabila langkah pemantauan lebih awal, diperhalusi nanti. Satu perkara yang perlu dilakukan ialah tindakan tegas terhadap mereka yang terbukti mensabotaj sehingga parti tewas dalam pilihan raya.

Walaupun sabotaj diakui sebagai faktor kekalahan di banyak kawasan UMNO pada 2008, tiada tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang bertanggungjawab. Sebaliknya ada antara pemimpin UMNO yang dikenal pasti berbuat demikian ketika itu, masih diberikan jawatan sama ada dalam parti atau kerajaan.

No comments:

Post a Comment