Posted on January 28, 2012, Saturday
KUCHING: Usaha Jawatankuasa Penaja UMNO Negeri Sarawak (JPUNS) yang ingin membawa masuk UMNO ke negeri ini tidak direstui oleh pemimpin parti yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN) itu.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, JPUNS digerakkan oleh individu yang mempunyai kepentingan peribadi dan ia tidak wajar dikaitkan dengan pemimpin UMNO.
Katanya, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin UMNO yang lain beberapa kali menegaskan parti tersebut tidak akan mengembangkan sayap ke Sarawak. “(Pemimpin) UMNO tidak mempunyai sebarang kaitan dengan jawatankuasa itu (JPUNS). Ia merupakan agenda peribadi pihak tertentu,” katanya ketika dihubungi semalam bagi mengulas kewujudan JPUNS di Sarawak sejak sekian lama.
Meskipun tidak mempunyai kaitan dengan jawatankuasa tersebut, bagaimanapun katanya, kepimpinan UMNO tidak berkuasa untuk mengarahkan JPUNS menghentikan aktiviti mereka termasuk ‘merekrut ahli.’
Menurutnya, kepimpinan UMNO juga tidak berhak untuk campur tangan dalam apa jua urusan berkaitan JPUNS yang kini diterajui pengerusinya, Affendi Jeman.
Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut, berkata: “Apa yang penting ketika ini ialah semua jentera BN termasuk di Sarawak perlu berada pada ‘Gear 5’, tahap di mana kita telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.”
Beliau berkata, persiapan yang rapi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lebih mustahak berbanding memikirkan JPUNS. “Ini lebih penting berbanding memikirkan hal jawatankuasa itu yang amat jelas dan telah ditegaskan tiada kaitan dengan UMNO Pusat dan BN amnya,” katanya.
JPUNS yang bukan satu isu baharu mendakwa mempunyai keahlian seramai 70,000 orang di seluruh negeri.
Affendi sebelum ini sering mendakwa rakyat Sarawak memberi sokongan padu terhadap kemasukan UMNO ke negeri ini.
Pemimpin UMNO sebelum ini menegaskan tidak ada keperluan bagi parti tersebut melebarkan sayap ke Sarawak memandangkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memiliki sokongan padu dalam kalangan penduduk di negeri ini.
No comments:
Post a Comment