Monday 30 January 2012

Perjuangan SUPP akan tetap diteruskan: Chin

 

by Clare Cinderella. Posted on January 30, 2012, Monday
TANDA TANYA: Lee (lima kanan) bersama presiden parti, Chin (tujuh kanan), Dr Chan (enam kiri) dan isterinya Datuk Lorna Chan serta empat pengerusi cawangan yang lain, Chu (empat kiri), Lee Chin Sing (lima kiri), Andy Chia (enam kiri) dan Sebastian Ting (tiga kanan).

Beliau tidak mahu kemelut, siasatan ROS ganggu perjuangan parti menyampaikan khidmat kepada rakyat

MIRI: Walaupun dilanda kemelut dengan siasatan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), namun Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin tidak mahu perkara itu mengganggu perjuangan parti dalam usaha mereka menyampaikan khidmat kepada rakyat.
“Kami tidak boleh mengamalkan sikap tunggu dan lihat, dengan Pilihan Raya Umum (PRU) yang semakin hampir.
“Kami perlu turun padang, sampaikan khidmat kepada rakyat, dengar masalah mereka dan selesaikan sebelum ia kelak menjadi isu (oleh pembangkang),” katanya.
Chin yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siasatan oleh ROS terhadap parti itu yang didakwa wujud penyelewengan ketika pemilihan di peringkat cawangan.
Menurut Chin, pihak ROS sudah pun bertemu dengannya dan SUPP masih menunggu laporan rasmi dan keputusan oleh pihak pendaftar itu kelak.
“Namun ia bukan alasan untuk kami duduk sahaja tanpa berbuat apa-apa sementara menunggu laporan rasmi dan keputusan oleh ROS.
“Kami telah dilantik berdasarkan peraturan dan perlembagaan parti. Jawatankuasa Pusat (CC) kemudian membentuk Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) juga berdasarkan perlembagaan parti.
“Kami tidak menyalahi perlembagaan parti, jadi tiada alasan untuk kami tidak bekerja.
“Justeru langkah pertama pemimpin SUPP kini ialah turun padang bertemu dengan semua ahli di peringkat akar umbi dan menjelaskan keadaan sebenar kepada mereka agar tiada kekeliruan, supaya mereka boleh bergerak dan berkhidmat dengan rakyat tanpa ragu-ragu,” katanya.
Bercakap kepada pemberita di sini pagi semalam, Chin berkata majlis pertama yang diadakan untuk bertemu pemimpin dan ahli akar umbi parti ialah pada 5 Februari depan di Kuching.
Majlis meraikan perayaan Chap Goh Mei itu dijangka menghimpunkan 12 cawangan di kawasan selatan dan dijangka dihadiri oleh lebih 800 ahli dan pemimpin cawangan.
“Kami tidak mahu wujud rasa bersalah atau ragu-ragu di kalangan ahli hingga boleh mengganggu pergerakan mereka untuk mendampingi rakyat. PRU sudah hampir dan itulah fokus kami sekarang,” katanya.
Sementara itu ketika ditanya mengenai sama ada salah seorang ahli dalam kumpulan Dato Sri Wong Soon Koh yang memulaukan perhimpunan tiga tahun sekali parti itu sebelum ini, iaitu Menteri Muda Komunikasi Datuk Lee Kim Shin ‘kembali’ semula ke dalam pasukan SUPP, Chin enggan mengulas perkara tersebut.
Isu Lee kembali kepada pasukan Chin timbul selepas melihat kehadiran beliau di majlis makan malam sempena meraikan Tahun Baharu Cina di kediaman bekas presiden parti, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan pada malam 21 Januari lalu.
Turut hadir Andy Chia, Datuk Sebastian Ting, Chu Chong Yee dan Lee Chin Sing.

No comments:

Post a Comment