Saturday 28 January 2012

BN negeri diyakini kekal kecemerlangan


Posted on January 28, 2012, Saturday

KUCHING: Meskipun wujud masalah membabitkan dua parti komponen, Barisan Nasional (BN) Pusat yakin dengan keupayaan BN Sarawak mengekalkan kecemerlangannya seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) 2008.

Ketua Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan yang berkata demikian menambah, masih ada masa untuk memperbaiki kelemahan membabitkan parti-parti komponen BN menerusi perbincangan. “Kita masih ada masa untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang kita hadapi melibatkan semua jentera BN yang ada di Sarawak. “Lagi pun pilihan raya (PRU13) bukannya pada bulan Januari ini, ia masih belum ditentukan dan yang pasti ia akan berlangsung sebelum April 2013,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dua parti komponen BN Sarawak yang mengalami masalah ialah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Justeru, ada pihak yang membuat penilaian kasar berdasarkan masalah tersebut dan mengatakan BN tidak mampu mengekalkan jumlah kerusi Parlimen seperti dimenangi pada PRU12. “Masih terlalu awal untuk kita menidakkan kemampuan kita untuk menang besar pada PRU akan datang,” kata Ahmad.

PRU12 menyaksikan BN menang 30 daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Kerusi tewas ialah Bandar Kuching yang dimenangi Chong Chieng Jen daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Bagaimanapun, BN kehilangan satu lagi kerusi Parlimen iaitu Sibu menerusi pilihan raya kecil pada Mei 2010, berikutan kematian Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April 2010.

Pada pilihan raya kecil, 16 Mei 2010, BN mempertaruhkan Robert Lau Hui Yew. Hui Yew tewas kepada Wong Ho Leng (DAP) yang merupakan Pengerusi DAP Sarawak.

Ditanya mengenai kunjungan beliau ke Sarawak yang dijadualkan pada 30 Januari ini, Ahmad berkata ia telah ditangguhkan kepada bulan Februari.

Menurut Ahmad, pada kunjungan itu kelak, pihaknya iaitu Jawatankuasa Penerangan akan membincangkan pelbagai perkara yang berkaitan dengan hal penerangan. “Pada mulanya jentera publisiti dan penerangan BN dijadualkan akan berjumpa dengan Ketua Publisiti BN di Sarawak hujung bulan ini, namun ia telah ditangguhkan ke Februari depan. “Seperti perjumpaan sebelumnya di 12 buah negeri di Semenanjung Malaysia, kami akan membincangkan pelbagai perkara yang berkait rapat dengan hal penerangan sebagai persiapan menghadapi PRU akan datang,” katanya.

Semalam, Ahmad memberitahu bahawa jenteranya kini berada pada tahap ‘Gear 5’ dan bersedia sepenuhnya menghadapi pilihan raya.

Menurutnya, jenteranya telah bersedia untuk pengumuman Perdana Menteri bagi pembubaran Parlimen pada bila-bila masa.

No comments:

Post a Comment