Monday 30 January 2012

Kebaikan BN tidak bermusim: Fatimah

 

by Awangku Khaider. Posted on January 30, 2012, Monday

Pemberian pelbagai bantuan bukan retorik dan strategi untuk meraih populariti

OYA: Kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak bermusim, tegas Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Datuk Fatimah Abdullah.
Menurut beliau, pemberian pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat oleh BN bukan retorik serta strategi untuk meraih populariti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) seperti dakwaan pihak pembangkang.
Beliau menyatakan demikian semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Terus di sini, pada petang kelmarin.
“Pemberian pelbagai bentuk bantuan merupakan bukti keprihatinan BN terhadap kebajikan rakyat.
“Tiada kena mengena dengan ketibaan PRU13. Kebaikan BN sentiasa berterusan tanpa bermusim.
“Justeru, saya berharap agar rakyat memanfaatkan bantuan BN ini sebaik mungkin. Sebagai contoh, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Sesiapa yang memenuhi syarat namun belum mendapat BR1M masih boleh mengemukakan permohonan sekarang,” katanya.
Fatimah turut menyeru JKKK di negeri ini agar menubuhkan Biro Pendidikan dalam usaha membantu meningkatkan prestasi akademik para pelajar menerusi kelas tuisyen serta sesi motivasi percuma.
“Saya berpendapat JKKK perlu menubuhkan Biro Pendidikan. Buat jadual, berikan para pelajar ini ruang untuk mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah dengan pengawasan guru yang dilantik oleh Biro Pendidikan.
“Sesi sebegini boleh diadakan antara waktu solat magrib serta isyak. Apabila masuk waktu solat, mereka perlu bersolat.
“Secara tidak langsung, masa mereka diisi dengan aktiviti berfaedah terutama pada cuti persekolahan,” tambahnya.
Hadir sama, Pengerusi SABERKAS Daerah Dalat yang juga Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Boom Datuk Malike Mahli, Penghulu Munir Aris dan Ketua Kaum Ramzie Ali.

No comments:

Post a Comment