Posted on January 30, 2012, Monday
Pemimpin parti komponen BN di setiap peringkat perlu lakukannya bagi penuhi kehendak rakyat
PAGOH: Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) di setiap peringkat perlu menganalisis secara mendalam calon yang dicadangkan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) bagi memenuhi kehendak rakyat di kawasan masing-masing.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, faktor calon amat penting kerana ia merupakan antara fokus utama pemilih dalam pilihan raya.
“Saya lihat kali ini walaupun parti yang bertanding itu diberikan nilai oleh pengundi macam BN apa perjuangan, falsafahnya, apa ideologi dan visinya…parti pembangkang pun dinilai juga, tetapi antara faktor yang lebih berat ialah calon.
“Sebab itu kita nak pemimpin BN menganalisis secara mendalam mana calon yang terbaik yang kita nak letakkan di kawasan itu…apa tokoh dia, latar belakang dia, dan penerimaan secara umum, ini penting,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia Zon Sungai Terap/Sungai Raya di sini, semalam.
Muhyiddin berkata, parti komponen BN ketika ini masih dalam peringkat mengenal pasti calon-calon yang berpotensi.
“Sekarang ini belum selesai lagi untuk mengenal pasti calon-calon berpotensi, masih dalam proses penilaian yang dibuat setiap parti komponen dalam BN… UMNO dengan penilaian sendiri, MCA, MIC pun ada senarai-senarainya,” katanya.
Beliau berkata Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak juga belum mengeluarkan arahan untuk setiap parti mengemukakan senarai calon masing-masing.
Mengenai sama ada terdapat perubahan atau pertukaran kerusi antara parti komponen BN pada PRU13 nanti Muhyiddin berkata, perkara itu akan dibincangkan apabila ada pemintaan daripada parti komponen.
“Kita akan buat penilaian pro dan kontra sama ada sesuai nak buat pertukaran kerana kita kena mengambil kira dua kawasan yang terlibat,” katanya.
Mengenai laporan akhbar berhubung hasrat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bersedia tidak bertanding pada PRU13, Muhyiddin berkata, itu soal dalaman parti itu.
“Ini soal mereka, sama ada bertanding atau tidak, bagi kita (BN) siapa saja di pihak parti pembangkang yang bertanding, kita hadapi macam biasa sama ada presiden PAS bertanding atau tidak bertanding, itu tidak penting.
“Saya lebih mementingkan soal BN, apa fokus BN, apa strategi yang kita susun untuk hadapi Pilihan Raya Umum, kita buat secara terperinci setiap kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri,” katanya. — Bernama
No comments:
Post a Comment