Wednesday 25 January 2012

Kami kekal wakil rakyat BN

 

by Agnes Tugong. Posted on January 22, 2012, Sunday

SPDP5 tubuh Kelab BN, ikrar terus berkhidmat bertunjangkan sokongan rakyat
TERUS BERSATU: (Dari kiri) Rosey, Nansian, Paulus, Entri dan Dr Tiki melaungkan slogan bersatu sebagai wakil rakyat BN meskipun telah dipecat daripada SPDP di Bau, semalam.

BAU: Lima wakil rakyat Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang dipecat dari parti baru-baru ini masih kekal sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Perkara ini dijelaskan secara terperinci oleh jurucakap kumpulan tersebut, Datuk Peter Nansian Ngusie yang juga bekas Naib Pre-siden Kanan SPDP.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu, sebagai wakil rakyat BN mereka akan meneruskan perkhidmatan kepada rakyat bertunjangkan kepada sokongan rakyat sendiri. “Selama ini, kami yang dianggap sebagai kumpulan dan telah pun menjadi kumpulan hanya berdiam diri dengan pergolakan yang berlaku antara kami dan pemimpin parti. “Jadi, hari ini (semalam) kami ingin menerangkan dengan terperinci mengenai apa yang berlaku serta kedudukan kami agar rakyat dan penyokong tidak keliru. “Kepastiannya, kami masih lagi kekal sebagai wakil rakyat BN dan jika ada pihak yang menganggap kami bukan lagi BN, ia adalah tidak betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Rakyat BN di Dewan Suarah di sini semalam.

Dalam pada itu, lima wakil rakyat yang dimaksudkan ialah Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe, ADUN Marudi Datuk Sylvester Entri, ADUN Bekenu Rosey Yunus, ADUN Bukit Danau Paulus Palu Ngumbang dan Nansian sendiri.

Terdahulu sebelum majlis itu, diadakan upacara menaikkan papan tanda Pusat Khidmat BN di dua tempat iaitu di Pejabat Tasik Biru dan Mas Gading disaksikan oleh sekitar 1,000 orang penyokong BN dari kedua-dua kawasan tersebut.

Nansian dalam ucapannya berkata, jentera mereka menubuhkan Kelab BN sebagai landasan untuk membolehkan mereka meneruskan perkhidmatan kepada rakyat menerusi BN dan bukan parti SPDP.

Mengulas mengenai pengunduran disusuli dengan pemecatan dari parti baru-baru ini, Nansian berkata, ia bermula dengan perselisihan faham diikuti kegagalan usaha untuk berbaik semula sehingga menyebabkan mereka hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden Tan Sri William Mawan Ikom. “Apa yang kami lihat ialah, tiada lagi prinsip, keadilan dan proses demokratik dalam parti di bawah pimpinan beliau (Mawan). “Ia terbukti apabila parti tewas di dua kerusi iaitu Ba’ Kelalan dan Krian pada Pilihan Raya Negeri lepas disusuli dengan pemecatan Entri daripada jawatan Timbalan Setiausaha Agung. “Kami tidak melawan, tetapi kami membantah ahli-ahli yang berlaku tidak adil dalam parti. Presiden adalah orang tidak konsisten,” katanya pada majlis yang turut dihadiri oleh Dr Tiki, Entri, Rosey dan Paulus serta para penyokong.

No comments:

Post a Comment