KUALA LUMPUR 30 Jan. - Barisan Nasional (BN) perlu mempertimbangkan lebih ramai calon daripada golongan profesional untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, untuk tidak mengulangi kesilapan pilihan raya umum yang lalu, BN tidak boleh terlalu bergantung kepada calon yang mempunyai hierarki atau berjawatan tinggi di dalam parti.
Sebaliknya, beliau berkata, BN kini perlu mengimbangi kerusi-kerusi yang ada dengan calon golongan profesional yang bebas daripada kekangan parti.
"Kalau boleh biarlah calon itu seseorang yang berada di luar lingkungan parti, individu yang dipilih berdasarkan kewibawaan, potensi dan latar belakang profesional.
"Ini kerana golongan itu dilihat lebih bebas dalam tindakan mereka dan mampu memperjuangkan setiap isu dan masalah rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa calon BN perlu memenuhi kehendak pengundi setempat dan bukan sekadar parti semata-mata bagi memastikan kemenangan pada PRU-13 nanti.
Azmi juga percaya langkah itu bertepatan dengan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletakkan calon boleh menang pada PRU-13 nanti.
"Kalau kita lihat pendekatan meletakkan calon profesional yang tidak terlalu 'berpolitik' seperti yang dilakukan Pas, memang terbukti berjaya.
"Hakikatnya pengundi sekarang sudah pandai membezakan keupayaan dan potensi yang ada pada calon," katanya.
Sementara itu, Professor Politik dan Kerajaan Jabatan Pengajian, Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Jayum Jawan berkata, pemilihan calon perlu mengambil kira faktor sosial dan geografi setempat.
Untuk menjadi calon pilihan, katanya, individu itu perlu menepati kehendak masyarakat di bandar dan luar bandar yang sama sekali berbeza serta berkeupayaan menunaikan tuntutan rakyat.
No comments:
Post a Comment