Posted on January 16, 2012, Monday
KUCHING: Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom menafikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri yang juga Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyokong tindakan empat ahli parti itu yang keluar parti dan menubuhkan Kelab BN. “Kita tidak boleh berkata begitu. Sudah tentu semua kita mahukan kesejahteraan BN, semua kita mahukan BN kuat dan mahu semua orang menyokong BN. “Namun beliau (Taib) tidak berkata yang beliau menganggap kumpulan itu (Kelab BN) sebuah entiti yang sah dan seiring dengan prinsip BN.
“Memang pada hakikatnya Ketua Menteri, Perdana Menteri mahupun saya sendiri selaku presiden parti tidak boleh menolak sokongan disuarakan kumpulan itu kepada BN tetapi kita tidak boleh katakan entiti itu sah menurut prinsip serta kesefahaman BN,” ujarnya pada sidang media di ibu pejabat SPDP di sini semalam.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu yang berlangsung lebih dua jam setengah di ibu pejabat SPDP di sini.
Mawan yang juga Menteri Kanan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Taib dalam beberapa akhbar tempatan baru-baru ini memetik beliau sebagai berkata: “Ia menandakan tidak kira apapun masalah dihadapi parti, mereka mahu menunjukkan mereka dipilih sebagai wakil BN dan mahu kekal bersama BN.”
Pada 6 Januari lalu kumpulan berkenaan melalui jurucakapnya Datuk Peter Nansian mengeluarkan kenyataan bertulis mengumumkan mereka ‘keluar’ daripada parti berkenaan. Kenyataan itu turut menyebut antara punca mereka bertindak demikian ialah pemecatan bekas Setiausaha Agung parti yang juga ADUN Marudi Datuk Sylvester Entri, antara ahli kumpulan yang menggelar diri mereka SPDP 5 November tahun lalu. “Kami perlu menegaskan prinsip kami seperti mana yang telah kami isytiharkan sebelum ini bahawa jika mereka menyentuh sesiapa pun di antara kami, maka mereka telah menyentuh kami semua. “Memandangkan kami melihat seolah-olah tiada tanda ke arah perdamaian dalam parti, maka tiada gunanya bagi kami untuk kekal dalam parti,” kata mereka.
Dengan keputusan itu, mereka turut merancang menubuhkan Kelab Barisan Nasional (BN)Sarawak di kawasan pilihan raya masing-masing sebagai satu wadah dan langkah sementara untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
Tiga lagi ahli kumpulan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe.
Mengenai pemilihan calon boleh menang yang bakal dipertaruhkan oleh SPDP khasnya dan BN Negeri amnya pada pilihan raya akan datang, Mawan berkata selaku Pengerusi BN Negeri sudah tentu Taib akan berbincang dengan pucuk kepimpinan parti, bukan dibuat berdasarkan keputusan peribadinya. “Tidak. Ketua Menteri tidak bermaksud demikian, ‘Saya’ kata beliau merujuk kepada BN…beliau berkata demikian bagi pihak BN, mekanisme dan konteks BN diwakilinya, beliau tidak bermaksud ia pandangan atau keputusan peribadinya. “Saya tidak berniat untuk mempertahankan Ketua Menteri…sudah tentu beliau akan mendapatkan pandangan kami selaku presiden parti dan setahu saya beliau selalu berbuat demikian,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment