by Abang Ismail Abang Su’ud. Posted on January 16, 2012, Monday
Wakil rakyat mesti adil, khususnya yang bukan ahli parti komponen mereka
BINTULU: Penduduk yang menjadi penyokong kuat kepada Barisan Nasional (BN) tidak harus diabaikan oleh wakil-wakil rakyat BN yang mewakili mereka di sesuatu kawasan meskipun mereka dalam parti komponen BN yang berlainan.
Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing berkata, wakil rakyat BN mestilah berlaku adil ketika memberikan perkhidmatan kepada rakyat di kawasan masing-masing khususnya terhadap rakyat yang bukan ahli parti komponen mereka.
Beliau merujuk mengenai kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong, Sibu (sebahagian kawasan Parlimen Lanang) yang merupakan kawasan Cina diwakili Ahli Parlimen Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). “Ada kalangan Dayak merasakan mereka seolah-olah diabaikan. Ini amat berbahaya (kepada BN) apabila (sesetengah kumpulan masyarakat) diabaikan,” ujarnya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PRS di Hotel Kemena Plaza semalam. Masing berkata, tindakan itu boleh memburukkan BN apabila penyokong BN daripada kaum Dayak boleh memusuhi BN apabila tiba pilihan raya. “Jika anda tidak meminggirkan mereka, mereka yang merupakan penyokong kuat BN akan sentiasa gembira untuk membantu anda kerana masyarakat Dayak sangat sedia membalas budi,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Tanah Sarawak.
Dalam pada itu Masing berkata, BN akan terus berhadapan cabaran besar membabitkan isu pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar.
Katanya, semua parti dalam BN seharusnya saling membantu dan bekerjasama yang mana wakil rakyat yang mewakili parti tertentu dalam komponen BN serta mewakili sesuatu kawasan itu perlu adil dengan semua kaum semasa melaksanakan tugasnya.
Mengenai mesyuarat itu katanya, pihaknya turun padang semalam merupakan satu usaha untuk mendekati ahli-ahli parti dari beberapa kawasan negeri ini supaya mereka tidak berasa terabai lebih lagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kini semakin hampir. “Sebelum ini kerap kali kami mengadakan mesyuarat di Ibu Pejabat PRS Kuching untuk ahli-ahli parti peringkat bahagian.
“Sekiranya mesyuarat kerap kali diadakan di Kuching, seolah-olah ahli-ahli parti di peringkat bahagian lain merasakan mereka tidak penting,” jelasnya.
Selain itu Masing turut meminta kerajaan persekutuan menunaikan janjinya kepada masyarakat Orang Ulu yang terjejas berikutan pelaksanaan Empangan Bakun yang bernilai RM7 bilion. Katanya, kerajaan berjanji untuk membiayai separuh daripada kos pembinaan rumah panjang baharu di Skim Penempatan Semula Sungai Asap. “Kerajaan negeri telah melaksanakan bahagiannya untuk membayar 50 peratus lagi kos berkenaan. Saya berharap pembayaran akan dapat dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum akan datang,” ujarnya.
Mengenai program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) katanya, satu cara pembayaran berkesan perlu difikirkan kerajaan bagi program BR1M khusus untuk rakyat di kawasan pedalaman.
“Bayaran menggunakan sistem baucar tidak begitu bersesuaian bagi mereka berbanding dengan bayaran tunai secara terus. “Ia membebankan rakyat, terutama bagi yang tinggal di luar bandar di Long Busang, satu kawasan jauh di pedalaman Belaga yang terpaksa membelanjakan RM600 untuk kos pengangkutan ke bandar bagi mendapatkan wang tunai daripada baucar itu sekali gus wang bantuan itu habis hanya untuk belanja pengangkutan. “Apakah kebaikannya apabila mereka mendapat RM500 dan menggunakan RM600 (untuk belanja pengangkutan)?
Akhirnya ia menjadi masalah yang membebankan rakyat,” katanya.
Timbalan Presiden PRS merangkap Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph Entulu Belaun, Naib Presiden PRS merangkap Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan merangkap Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum, Naib Presiden PRS merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Billy Abit Joo, Ahli Dewan Undangan Negeri Tamin Joseph Mauh Ikeh, Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak, Ketua Pergerakan Pemuda Mong Dagang, Ketua Pergerakan Wanita Senator Doris Sophia Brodie dan ahli Majlis Tertinggi PRS turut hadir dalam sidang media itu.

No comments:
Post a Comment