Posted on January 16, 2012, Monday
KUCHING: Presiden Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) Edwin Dundang mengundur diri daripada jawatan tertinggi parti tersebut untuk memberi laluan kepada pemimpin baharu yang lebih muda dan berkaliber.
Keputusan untuk mengundur diri dibuat dengan harapan parti yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana ideologi luar itu dapat bergerak dan meneruskan perjuangan secara bebas. “Tidak ada pemimpin dalam mana-mana organisasi mempunyai kekebalan untuk terus kekal bagi jawatan yang disandangnya. “Saya percaya ada banyak lagi individu di luar sana yang berkebolehan, muda dan kuat untuk memikul tanggungjawab sebagai pemimpin tertinggi parti. “Justeru, saya berharap dengan memberi laluan kepada muka baharu akan dapat membawa SNAP ke arah kecemerlangan kini dan seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Perhimpunan Agung Tritahunan Ke-17 SNAP di ibu pejabat parti itu di sini semalam.
Terdahulu dalam ucapannya Edwin berkata, parti itu yang baru pulih selepas sekian lama mendiamkan diri telah berhadapan semula dengan pilihan raya negeri tahun lepas.
Hasil daripada pilihan raya tersebut, SNAP telah mengenal pasti beberapa faktor yang mendorong kepada prestasi buruk parti itu pada pilihan raya tersebut.
Justeru, menjadi harapan kepada Edwin untuk melihat barisan kepimpinan baharu yang dipilih pada TGA semalam akan dapat mengukuhkan lagi parti dan jenteranya terutama pada Pilihan Raya Umum akan datang.

No comments:
Post a Comment