by Pauline Kayan. Posted on January 18, 2012, Wednesday
RASMI: Alexander (tengah) menuang simen ke dalam lubang sebagai simbolik perasmian
‘Ngentak Rumah Baru’ di Rumah Semut Ansa, Ulu Yong, kelmarin sambil disaksikan tetamu lain.
KAPIT: Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan akan sentiasa berusaha membantu rakyat dari segi ekonomi agar seiring dengan pembangunan infranstruktur yang sedang dilaksanakan. “Kerajaan kini dalam proses pelaksanaan pembangunan infranstruktur seperti bekalan elektrik dan air bersih. “Penduduk Ulu Yong bertuah jika dibandingkan dengan penduduk di kawasan lain kerana sudah dapat dihubungkan dengan jalan raya. “Jika dulu, kita mengambil masa sehari suntuk untuk sampai ke sini, tapi kini dengan adanya jalan raya hanya mengambil masa kira-kira satu jam lebih. “Malah, terdapat juga sekolah berdekatan kawasan ini untuk pembangunan modal insan penduduk di sini. “Kini penduduk harus berikhtiar tentang cara untuk meningkatkan ekonomi anda sendiri. “Jangan terlalu bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya usahakan tanah sedia ada untuk bercucuk tanam, mahupun menanam tanaman kontan untuk pendapatan jangka panjang anda semua,” katanya ketika berucap dalam Majlis ‘Ngentak Rumah Baru’ Rumah Semut Ansa, Ulu Yong, di sini kelmarin.
Tambahnya, kerajaan sedia membimbing dan membantu penduduk yang ingin mengusahakan tanaman kontan melalui MARDI, FELCRA dan sebagainya. “Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin kepada kebajikan rakyat tidak kira mereka yang berada di bandar mahupun luar bandar. “Oleh itu, saya nasihatkan penduduk semua agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tohmahan daripada pihak yang hanya pandai berjanji manis. “Penduduk di sini amnya, sudah melihat sendiri bukti kerajaan prihatin dengan keperluan rakyat di hulu sungai dengan menghubungkannya dengan jalan raya. “Sudah tentu pelaksanaan setiap projek pembangunan mengambil masa yang agak lama kerana perlu melalui proses-proses tertentu bagi menghasilkan yang terbaik,” katanya.
Hadir sama Penyelia Kanan KEMAS Kapit Ambrose Abong Bugek, Timbalan Walikota Kaunselor Jefferson Jamit, Pemangku Penolong Setiausaha Majlis Daerah Kapit (MDK) Kelimbik Sibat, Pegawai Penerangan Daerah Garai Entili, Pengurus Maybank Cawangan Kapit John @ Johnary Janggu dan Penghulu Engin Nyipa.
Beliau turut menyampaikan geran MRP sebanyak RM13,000 kepada JKKK Rumah Semut Ansa dan RM5,000 kepada JKKK Rumah Lapik.
No comments:
Post a Comment