by Reno Benjamin. Posted on January 18, 2012, Wednesday
SIBU: Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dinasihati menggunakan bantuan yang diberikan dengan sebaik mungkin dan tidak menggunakannya bagi aktiviti tidak sihat seperti membeli minuman keras atau berjudi.
Penghulu James Semilan Guang berkata, keutamaan harus diberikan kepada pendidikan anak-anak dan jika ada wang yang lebih, ia harus disimpan untuk kegunaan pada kemudian hari. “Gunakan bantuan yang diberi dengan sebaik mungkin. Keutamaan harus diberikan kepada pendidikan anak-anak dan jika ada lebih, ia harus disimpan,” ujarnya kepada pemberita, semalam.
Diminta memberi nasihat kepada mereka yang telah menerima bantuan BR1M, James juga menasihati pemohon bantuan agar bersabar menunggu permohonan mereka diluluskan.
Katanya, orang ramai tidak perlu tergesa-gesa menyemak permohonan mereka di pejabat, sebaliknya menunggu sehingga menerima surat yang memberitahu permohonan mereka telah berjaya. “Bagi yang belum menerima surat, mereka harus bersabar. Tidak bermakna apabila lewat menerima surat, permohonan mereka tidak diluluskan. “Jangan tergesa-gesa terutama bagi mereka yang tinggal di luar bandar untuk datang ke bandar untuk membuat semakan. “Ini kerana perbelanjaan yang digunakan nanti mungkin lebih daripada apa yang akan mereka terima,” jelasnya.
James memberitahu, bantuan BR1M yang diberikan menunjukkan kerajaan melakukan yang terbaik bagi menaik taraf hidup semua rakyat di negara ini.
Katanya dengan semua perancangan dan skim yang dilakukan oleh kerajaan, tidak ada sebab mengapa rakyat negara ini tidak menyokong kerajaan Barisan Nasional. “Semua bantuan atau skim ini bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat. Mungkin lebih banyak lagi bantuan atau skim daripada kerajaan selepas ini,” jelas beliau.
Sementara Penghulu Jeffery Sut Angan berkata, mereka yang telah menerima bantuan BR1M dinasihati agar tidak membazirkan wang yang diberi atau menggunakan untuk tujuan yang tidak berfaedah. “Jika boleh gunakan untuk persekolahan anak-anak. Jangan guna untuk minum minuman keras atau berjudi. Gunakan bantuan yang diberikan dengan sebaik mungkin,” ujarnya.
Jeffery menambah, penerima harus menggunakan bantuan yang diberikan sebaik mungkin memandangkan peruntukan seumpama tidak diberi setiap tahun. “Bagi yang telah menerima bantuan, kita harus berterima kasih kepada kerajaan yang amat prihatin,” tambah beliau.
No comments:
Post a Comment