Wednesday, 18 January 2012

Pemilik tanah NCR mohon JTS tarik balik PL kepada syarikat tempatan


Posted on January 18, 2012, Wednesday

KUCHING: Pemilik tanah dari 10 kampung dan rumah panjang di kawasan Malikin, Balai Ringin memohon Jabatan Tanah dan Survei (JTS) untuk menarik balik Pajakan Sementara (PL) yang diberikan kepada syarikat tempatan kerana tanah yang ditanda merupakan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Mereka memberi masa 30 hari bermula semalam untuk menarik balik PL yang diberikan kepada syarikat berkenaan yang juga merupakan milik seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Semalam seramai 50 daripada pemilik berkenaan datang dari Balai Ringin untuk membuat bantahan kepada Pengarah JTS Sazali Kipli di pejabatnya di Wisma Pelita.

Penduduk kampung yang datang menaiki bas sekolah tiba di Wisma Pelita pada jam 11.40 pagi.

Ketika ditemui semalam salah seorang pemilik tanah Augustine Bagat berkata, beliau berpuas hati kerana dapat menyuarakannya kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab. “Tujuan utama kami ke sini adalah kerana tanah-tanah itu diserahkan kepada syarikat perladangan dan ia milik nenek moyang kami dan kebanyakan pokok buah-buahan seperti pokok durian dan getah telah berusia melebihi 100 tahun. “Masalahnya mereka membersihkan tanah terbabit dan menebang semua pokok terbabit tanpa memberitahu kami terlebih dahulu,” ujarnya.

Tambahnya juga, terdapat kawasan penanaman padi yang menggunakan jentolak untuk dibersihkan dan tidak sempat bagi mereka untuk menuai hasil tanaman dan ia memang tidak adil. “Kami memberi JTS tempoh 30 hari untuk menarik balik PL tersebut dan jika mereka gagal kami akan datang semula dalam kumpulan yang lebih besar untuk membuat bantahan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment