Thursday, 19 January 2012
Jabatan Tanah Dan Survei Bahagian Mukah telah mengagihkan pampasan tanah berjumlah RM9,708,644 kepada 172 pemilik tanah di sini hari ini
Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah yang diadakan di Menara Pehin Setia Raja Mukah itu telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Mukah, Dato Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad.
Dalam ucapannya pada majlis tersebut, beliau menyatakan betapa pentingnya bagi rakyat untuk memberi kerjasama serta sokongan kepada kerajaan untuk membolehkan ia melaksanakan pelbagai projek di sesuatu kawasan.
“Sokongan dan kerjasama daripada penduduk tempatan adalah amat penting bagi kerajaan yang memerintah untuk melaksanakan pelbagai projek untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di sesebuah kawasan,” katanya.
Justeru itu, tambahnya, Kerajaan Barisan Nasional(BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud sering mengutamakan kepentingan rakyat di atas segala-galanya dalam melaksanakan sesuatu projek pembangunan.
Bagi Sarawak dan Mukah khasnya, kata Dr Toyad lagi, tanah tidaklah menjadi masalah utama kerana kita masih mempunyai kawasan tanah yang luas untuk melaksanakan projek pembangunan.
“Setakat ini pengambilan tanah untuk tujuan pembangunan telah mendapat kerjasama yang baik daripada rakyat di Sarawak termasuk di Mukah ini. Dan semoga senario tersebut akan beterusan untuk memudahkan kerajaan BN untuk melaksanakan projek-projek pembangunan untuk rakyat di sini,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan bahawa betapa pentingnya penambahan jumlah penduduk di Mukah untuk menggiatkan lagi pertumbuhan dan aktiviti ekonomi di bahagian ini.
“Sekarang di Daerah Mukah, penduduknya adalah di sekitar 50,000 orang, dan boleh menjangkau ke angka 70,000 berdasarkan pada pembangunan yang sediaada terutamanya SCORE. Ini penting kerana dengan perkembangan tersebut pasaran kita akan berkembang dan begitu juga dengan aktiviti-aktiviti ekonomi dan sosial,” ujar Dr Toyad.
Penguasa Jabatan Tanah Dan Survei Bahagian Mukah, Awang Zamhari Awang Mahmood yang juga berucap pada majlis tersebut menyeru orang ramai untuk menguruskan tanah mereka dengan baik dan sentiasa mengemaskinikannya dari masa ke semasa.
“Misalnya kalau ada pemilik tanah yang meninggal, adalah dinasihatkan supaya ahli keluarga si mati untuk segera melaporkannya untuk tindakan lanjut supaya ia tidak akan menimbulkan pemasalah yang rumit bagi pewaris dan sebagainya termasuk bagi kerajaan untuk melaksanakan projek pembangunan,” ujar Zamhari.
Tujuh projek yang terlibat dengan pengambilan balik tanah pada Majlis Penyampaian Cek Pampasan itu ialah Pusat Penyelidikan SCORE UNIMAS, Kampung Jebungan Extension, Pembesaran Jalan dan Saliran ke Lapangan Terbang Baru Mukah, Jalan Menghubung Jalan Balingian ke Jalaraya Sibu/Bintulu/Mukah, Jalan Engkebai/Lubuk Bemban/Ulu Sikat(Fasa 2), Naiktaraf Jalan Pengkalan Lobang Fasa 2 dan Jalan Penipah Ulu Fasa 2.
Juga hadir pada majlis tersebut ialah Philip Peter Salam, Timbalan Residen(Sosial) Bahagian Mukah, Pegawai Daerah Mukah, Mohamad Nawawi, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua masyarakat
No comments:
Post a Comment