KUCHING: Persatuan Pengangkutan Lori Sarawak (SLTA) mencabar kerajaan negeri untuk menaik taraf jalan Pan-Borneo menggunakan sumber kewangan sendiri daripada terus menunggu peruntukan daripada kerajaan pusat.
Presidennya, Jong Foh Jit percaya negeri ini yang kaya dengan sumber alam semula jadi, mempunyai kemampuan dan kebolehan untuk menyahut cabaran tersebut. Menurutnya, beliau kecewa dengan keadaan jalan raya ini yang masih teruk sungguhpun sudah lama mengecapi kemerdekaan. “Ramai penduduk di Semananjung Malaysia tidak tahu akan keadaan jalan raya di Sarawak. “Sebagai contoh ialah jalan Pan-Borneo di mana ia masih lagi jalan raya sehala, tiada lampu jalan dan keadaan menjadi bertambah teruk apabila hari hujan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam SLTA di sini, malam kelmarin.
Jong yang juga Presiden Persatuan Pemilik Lori Pan-Malaysia turut menegaskan kurangnya pengerakan kenderaan tidak sepatutnya dijadikan alasan kerajaan untuk tidak menaik taraf struktur jalan raya di negeri ini. “Kerja naik taraf belum dapat dijalankan kerana Sarawak masih mempunyai pergerakan kenderaan yang belum cukup untuk menarik syarikat swasta melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan. Adakah ini alasan yang baik untuk kerajaan mengabaikan tanggungjawabnya? “Jika itu keadaannya, kerajaan negeri patut menaiktarafkannya dan tunjukkan kepada kerajaan pusat kebolehan kita. Disebabkan itu, kerajaan pusat perlu bertindak dan tidak hanya mimpi di siang hari,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu kerajaan seharusnya menaikkan jumlah muatan maksimun sesebuah lori. “Tolong jangan mengabaikan suara kami kerana masalah yang kami hadapi juga sama seperti masalah yang dihadapi kerajaan. “Justeru, kerajaan perlu mendengar cadangan kami sebaik-baiknya agar kita bersama-sama mencapai sesuatu yang membanggakan,”Katanya.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng.
No comments:
Post a Comment