Posted on January 18, 2012, Wednesday
KUCHING: Sarawak dijangka menghasilkan 7,000 megawatt (MW) tenaga elektrik menjelang tahun 2020 yang akan menarik pelaburan bernilai RM20 bilion, dedah Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (SEB) Torstein Dale Sjotveit.
Beliau berkata, kebanyakan bekalan tenaga yang diperolehi adalah daripada projek hidroelektrik (HEP) berbanding daripada stesen tenaga arang batu. “Bagi tempoh lapan tahun akan datang, kami yakin untuk menghasilkan kira-kira 7,000 MW tenaga elek-trik yang akan menarik pelaburan besar iaitu kira-kira RM20 bilion,” katanya pada Majlis Taklimat dan Media Luncheon 2012 SEB di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Tambahnya kebanyakan tenaga itu diperolehi dari empangan HEP yang ada seperti empangan gergasi Bakun, Murum, Pelagus, Baram, Limbang dan Lawas. “Tenaga elektrik daripada em-pangan-empangan ini berkemungkinan dengan mudah mencapai 6,000MW dan bakinya disumbang daripada stesen jana kusa arang batu dari Mukah, Balingian dan Nanga Merit,” kata Torstein.
Beliau berkata, tiga daripada lapan turbin Bakun kini sedang menjana elektrik manakala selebihnya akan mengeluarkan tenaga menjelang akhir tahun ini.
Bagi Empangan Murum katanya, kini 55 peratus siap dan projek dijangka siap menjelang hujung tahun.
Kerja-kerja penakungan air di Murum pula dijangka dilakukan bermula pada awal tahun depan.
Beliau berkata, SEB akan meningkatkan kepakaran di Empangan Murum dengan menghantar kakitangan menjalani latihan lanjut ke China dan Tasmania, Australia.
Mengenai pembangunan perniagaan terkini, Torstein mendedahkan bahawa tahun lepas sahaja, SEB te-lah menandatangani memorandum persefahaman (term sheets) dengan lima pengguna tenaga utama iaitu Press Metal Bhd, OM Holding, Asia Mineral Bhd, Tokuyama Corp dan PLN, yang memerlukan gabu-ngan tenaga berjumlah kira-kira 1,800 MW untuk kilang mereka. “Setakat ini pelaburan yang dirancang kira-kira RM9.5 bilion untuk membina kilang di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu,” kata-nya.
Sementara itu Torstein memberitahu bahawa Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi Kongres Sedunia Persatuan Hidro Antarabangsa (IHA) bermula 21 hingga 24 Mei tahun depan. Kongres Sedunia IHA 2013 itu akan mengetengahkan pemain-pemain utama dari seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment