utusansarawak@utusan.com.my
KANOWIT 9 Jan. – Penyerahan cek pampasan tanah kepada 160 penerima bernilai RM2.4 juta, di sini, menjadi bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah merampas tanah rakyat sesuka hati. Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pengambilan tanah rakyat bagi melaksanakan pelbagai projek untuk kemudahan penduduk di luar bandar juga diberi pampasan berpatutan. “Hari ini, satu lagi bukti bahawa pampasan seperti ini bukannya propaganda tetapi ia satu dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi memberi jaminan kepada pemilik yang menyerahkan tanah mereka untuk melaksanakan projek kemudahan asas. “Projek ini bukan sahaja memberi memberi manfaat kepada penduduk kerana secara tidak langsung ia mampu meningkatkan taraf hidup rakyat yang tinggal di kawasan terbabit,” katanya.
Aaron berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyampaian Cek Pampasan Tanah Untuk Projek Jalan di Kanowit di Dewan Suarah Kanowit, semalam.
Jumlah keseluruhan pampasan itu adalah RM2,413,740 membabitkan 160 pemilik tanah seluas 64.11 hektar bagi pelaksanaan lima projek pembinaan jalan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Projek tersebut ialah Jalan Rantau Dilang, Jalan Nanga Mam, Jalan masuk ke Sekolah Kebangsaan Batu Luking, Jalan Kampung Bedil dan Jalan Menalun (lot tambahan) di Sungai Poi.
Sementara itu, Aaron berharap penduduk yang menerima faedah daripada pembinaan jalan agar memanfaatkan usaha kerajaan dengan menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi yang akan meningkatkan taraf sosioekonomi mereka. “Projek pembinaan jalan ini telah memudahkan rangkaian perhubungan penduduk setempat dengan kawasan-kawasan lain. “Keadaan ini secara langsung turut akan membantu penduduk setempat meningkatkan taraf sosioekonomi,” katanya.
Mengulas lanjur, Aaron berkata, rakyat juga wajar bersyukur dan meneruskan sokongan kepada kerajaan BN agar kesinambungan pembangunan yang telah dinikmati ketika ini terus berjalan lancar.
“Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai projek pembangunan tidak kira di bandar atau di luar bandar. “Tetapi ia memerlukan sokongan dan kerjasama penuh dari rakyat kerana kalau tanpa sokongan dan kerjasama itu rancangan pembangunan tersebut mungkin akan terencat atau tidak dapat dilaksanakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment