Wednesday, 11 January 2012

BN tak gentar hadapi PRU13

Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my



PUTRAJAYA 10 Jan. – Barisan Nasional (BN) tidak tertekan atau gentar untuk menghadapi pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam membebas dan melepaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan kes tersebut dibuat oleh mahkamah dan tidak ada kena mengena dengan BN atau pilihan raya umum.
‘‘Kita punya persiapan bukan kerana ada pihak menekan kita maka selepas itu barulah mahu bekerja bagai nak rak tetapi kita buat kerja macam biasa. ‘‘Kita sudah melalui proses pilihan raya umum bukan sekali tetapi sudah masuk kali ke-12 dan bagi kita ia satu pengalaman yang banyak, jadi kita tidak tertekan dalam soal ini,” katanya yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan amanat tahun baru pada Majlis Perutusan Khas Kementerian Pelajaran di sini, hari ini.

Turut hadir dua Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir Dr. Wee Ka Siong dan Dr. Mohd Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed serta Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.

Beberapa pihak tertentu hari ini berpendapat bahawa keputusan mahkamah membebas dan melepaskan Anwar daripada pertuduhan liwat akan memberi tekanan kepada BN untuk menghadapi PRU 13 nanti.

Menurut Muhyiddin, proses persiapan jentera pilihan raya BN berjalan sebagaimana yang diamalkan dalam semua PRU sebelum ini. ‘‘Usaha memperlengkapkan jentera dengan segala persiapan yang perlu dilakukan bukan sebab Anwar bebas, kerana jika tidak bebas pun macam-macam juga cerita timbul. ‘‘Soal pokoknya, kita akan menghadapi pembangkang dan kita tahu mereka pun atur strategi, kita juga harus ada strategi yang bijak,” katanya.

Ditanya saranan beberapa pihak dalam UMNO agar Datuk Hasan Ali menyertai parti itu, beliau berkata, tawaran itu bukan bermakna UMNO atau BN terdesak atau ghairah mencari calon menang untuk PRU nanti. ‘‘Mesti berhati-hati untuk cakap begitu kerana takut nanti UMNO dikatakan terburu-buru dan ada orang kata kita tidak ada pemimpin lain. ‘‘Tetapi UMNO adalah parti terbuka kepada mereka yang berminat dan yakin dengan perjuangan kita, tetapi terserah kepada individu itu untuk menilai,” katanya.

No comments:

Post a Comment