Tuesday, 10 January 2012

Anwar bebas, disambut laungan ‘reformasi’

Fazy Sahir

January 9, 2012
Keputusan hakim kira-kira jam 9.15 pagi disambut dengan laungan 'reformasi' dan bacaan doa kesyukuran.

KUALA LUMPUR: Laungan ‘Reformasi’ dan ‘Bebas Anwar’ menghiasi perkarangan Mahkamah Tinggi di sini pagi ini apabila kira-kira 5,000 penyokong hadir memberi sokongan kepada Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibebaskan dari pertuduhan liwat.
Keputusan pembebasan Anwar diumumkan hakim Zabidin Mohd Diah kira-kira jam 9.15 pagi dan disambut dengan laungan ‘reformasi’ dan bacaan doa kesyukuran.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turut mengumumkan pembebasan Anwar dan kemudian melaungkan ‘hidup rakyat’ ‘tolak BN’ dan mengajak para penyokong bergerak dari Kuala Lumpur ke Permatang Pauh bagi meraikan kemenangan Anwar dalam kes ini.
Kelihatan para penyokong berpelukan sesama sendiri dan tidak kurang juga yang menitiskan air mata apabila keputusan itu disampaikan oleh salah seorang yang melaungkan ‘Anwar Bebas’.
Keadaan terkawal sejurus pengumuman pembebasan Anwar dibuat dan para penyokong mula berdoa. Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan polis yang bertugas masih mengawasi sekitar parkir dan perkarangan mahkamah.
Sebelum itu, sejak awal pagi Anwar yang berkaca mata hitam berkemeja putih hadir bersama isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pimpinan PKR lain. Keadaan sedikit tidak terkawal apabila Anwar tiba di perkarangan mahkamah. Para penyokong yang sepatutnya berkumpul secara aman dalam kawasan parkir sebaliknya tidak berbuat demikian. Kebanyakan mereka berdiri diluar kawasan parkir yang ditetapkan dan membanjiri pintu pagar mahkamah.
Pada jam 7.15 pagi dianggarkan lebih 3,000 penyokong hadir di kawasan parkir Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini dengan laungan ‘Reformasi’ dan nyanyian lagu ‘Negaraku’. Juga kelihatan sepanduk tertulis ‘Tolak Fitnah 2′, ‘Lepaskan Anwar’ dikibarkan. Polis kemudiannya mengeluarkan arahan agar para penyokong memenuhi ruang parkir. Setakat ini keadaan terkawal dan pihak polis yang dianggarkan kira-kira 1,000 anggota mengawasi keadaan itu dengan baik.
Pada 7.45 pagi kelihatan peguam S Ambiga dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said memasuki perkarangan Mahkamah Tinggi.
Selain itu peguam Lateefa Koya, Fadiah Nadwa Fikri, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli adalah di antara pemimpin PKR yang hadir.
Nenek hadir bersama cucu
‘Demi keadilan’ seorang nenek berusia 56 tahun hadir bersama dua cucu dalam perhimpunan ‘Bebaskan Anwar 901′. Nenek tersebut hadir bersama seorang cucu perempuan berusia 3 tahun manakala salah seorang cucu lelakinya pula adalah Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 10 tahun hadir dengan berkerusi roda.
Nenek tersebut yang enggan namanya dikenali berkata beliau yakin mereka tidak akan ditangkap memandangkan perhimpunan itu diadakan secara aman.
Kes tuduhan liwat II membabitkan Anwar dan bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Mohd Azlan berlanjutan lebih dua tahun.
Keputusan ini dianggap sebagai mercu tanda yang baik ke arah membebaskan sistem perundangan dan kehakiman di negara ini dan ketika negara sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke 13
nanti.

No comments:

Post a Comment