Wednesday 1 August 2012

Waspada pengaruh PR: Fadillah

by Mahathir Haroun. 


KUCHING: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) perlu lebih berwaspada dengan pengaruh Pakatan Rakyat (PR)yang menyebabkan segelintir daripada mereka sanggup meninggalkan parti pemerintah.

Ketua Pemuda BN Negeri Datuk Fadillah Yusof berkata, tindakan mereka keluar daripada parti komponen BN dan menyertai PR berkemungkinan besar akan menyebabkan mereka disisih.

Menurutnya, ini kerana ada di kalangan pelopor penubuhan PR telah meninggalkan parti pembangkang itu kerana tidak mendapat hak mereka.

“Daripada terpengaruh dengan janji PR sehingga sanggup keluar BN, lebih baik mereka terus berjuang untuk rakyat bersama panji parti pemerintah,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan dua Ahli Parlimen dari Sabah meletak jawatan dalam kepimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN).

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Lajim Ukim meletak jawatan dalam UMNO dan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Bamburing melepas jawatan sebagai Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).

Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Ahli Parlimen Petra Jaya menjelaskan, dua pemimpin tersebut sepatutnya tidak mengambil langkah terburu-buru untuk keluar daripada parti komponen BN.

“Masa akan menentukan, kalau pelopor PR dan orang yang bermatian memperjuangkan pemimpin mereka boleh meninggalkan parti pembangkang itu, tidak hairan suatu hari nanti dua pemimpian ini akan disisih.

“PR tidak memberi sebarang jaminan kepada kedua-dua pemimpin ini,” ujarnya.

Bagaimanapun menurutnya, tindakan kedua-dua pemimpin berkenaan tidak memberi kesan mendalam kepada perjuangan BN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

No comments:

Post a Comment