Tuesday, 28 August 2012

DAP tidak sensitif terhadap hak kebebasan individu untuk berpersatuan


KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) jelas tidak sensitif dan peka terhadap hak-hak kebebasan individu untuk berpersatuan apabila mahu memperkenalkan undang-undang antilompat parti di negara ini.

Menteri Kanan Tan Sri James Masing berkata tindakan DAP itu ternyata bercanggah dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan ia dibuat semata-mata untuk kepentingan politik mereka.

“Apa DAP lebih-lebih lagi Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng begitu jahil tentang undang-undang negara yang amat jelas tertera dalam perlembagaan persekutuan iaitu individu bebas berpersatuan dan tindakan mereka ini jelas menyekat kebebasan individu.

“Saya percaya apa yang dilakukan oleh DAP ini semata-mata untuk kepentingan politik, kenapa Pakatan Rakyat atau DAP yang sebelum ini begitu menyokong kebebasan berpersatuan dan liberalisasi tiba-tiba mengubah pendirian mereka,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata undang-undang diperkenalkan DAP itu tidak relevan dengan situasi di negara ini dan menambah, isu lompat parti adalah perkara biasa berlaku dalam politik.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan DAP untuk menggubal undang-undang antilompat parti di negara ini dengan mula memperkenalkannya di Pulau Pinang sebelum diperkenalkan di negeri-negeri lain yang diperintah Pakatan Rakyat.

Lim Guan Eng semalam dalam satu kenyataannya yang dipetik dalam sebuah portal berita membidas kritikan terhadap DAP memperkenalkan undang-undang antilompat parti di Pulau Pinang, dengan berkata parti tersebut sentiasa menentang pembelotan untuk mendapat kuasa politik.

Beliau menerangkan situasi percubaan Pakatan Rakyat (PR) pada 16 September pada 2008, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengatakan Barisan Nasional (BN) akan jatuh melalui pelompatan parti ke PR, tetapi menurut beliau, DAP menentang cara ini untuk mendapat kuasa.

“Cadangan ini adalah daripada Anwar, bila beliau mencadangkan tentang ini, DAP mempunyai pendirian berbeza.

“Semua orang boleh lompat parti tapi adalah penting untuk mempunyai mandat baharu,” katanya.

Peristiwa 16 September itu telah terus menghantui pakatan pembangkang, dan dibangkitkan sekali lagi apabila pentadbiran Lim di Pulau Pinang mencadangkan undang-undang antilompat parti.

Lim mengulangi pendirian kerajaannya bahawa cadangan itu tidak akan menghalang hak individu untuk berpersatuan di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan kerana tidak menghalang orang menyertai parti lain.

Apa yang lebih penting, katanya adalah untuk mengangkat hak demokratik pengundi dengan membenarkan pemilih memilih wakil sama ada Ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang menukar parti.

Ahli Parlimen Bagan itu juga mempersoalkan penolakan Barisan Nasional (BN) terhadap undang-undang antilompat parti, dengan berkata parti pemerintah masih mahu membeli wakil rakyat demi men-dapatkan kuasa jika perlu.

Lim sekali lagi berkata tentang kes di Perak, bila pertukaran kerajaan berlaku pada 2009 daripada PR kepada BN, apabila dua ADUN PKR dan seorang daripada DAP meninggalkan parti mereka untuk menjadi ADUN bebas yang menyokong BN.

“Kenapa BN enggan menerima undang-undang ini? Adakah mereka masih mahu membeli wakil lagi?” katanya.

No comments:

Post a Comment