Monday 6 August 2012

Masir seru rakyat usah terima janji manis SWP


SRI AMAN: Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat menasihati rakyat di kawasan luar bandar agar tidak mudah menerima hasutan dan janji manis pihak pembangkang terutamanya Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Menurut Masir, parti pembangkang cuba mendekatkan diri dengan rakyat untuk meraih sokongan politik lebih-lebih lagi ketika menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu bijak membezakan kemajuan yang dinikmati hasil usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) dan perangai parti pembangkang sebelum membuang undi pada PRU13 nanti.

“Jika hendak terus menikmati faedah projek pembangunan, rakyat haruslah terus menyokong kerajaan BN dan bukannya parti pembangkang seperti SWP yang hanya tahu mengelirukan pemikiran rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam sempena perasmian Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Brayan Tala, Panggil di sebuah restoran tempatan di sini, malam kelmarin.

Masir berkata, menyokong parti pembangkang tidak akan memberikan sebarang keuntungan kepada rakyat sendiri berikutan hanya kerajaan BN sahaja yang mempunyai sumber untuk membangunkan hidup rakyat.

“Saya yakin rakyat di negeri ini sememangnya cukup pintar untuk menilai sumbangan yang telah kerajaan BN berikan kepada mereka selama ini berbanding pembangkang,” katanya.

Turut hadir wakil kepada Menteri Muda Pertanian Datuk Mong Dagang, Howard Tambon; Pembantu Luar Kanan JASA Dewan Undangan Negeri Bukit Begunan, Jessy Bintoh, Kaunselor Selimin Kering dan ketua kaum sekitar Sri Aman.

Masir pada majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM8,000 kepada JKKK Rumah Brayan dengan Howard menyerahkan cek RM15,000 daripada Mong kepada JKKK berkenaan.

No comments:

Post a Comment