Friday 10 August 2012

Peter Chin berundur


BERUNDUR: Chin ketika dikerumuni wartawan selepas mengumumkan pengundurannya secara terbuka pada majlis berbuka puasa di Miri malam tadi.

Tidak akan pertahan kerusi Parlimen Miri pada PRU13

MIRI: Selepas enam penggal menyandang jawatan Ahli Parlimen Miri Datuk Seri Peter Chin akhirnya mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

Pengumuman tersebut dibuat secara terbuka di hadapan para pemimpin dan penyokong Barisan Nasional (BN) dan ketua-ketua jabatan pada majlis berbuka puasa bersama beliau di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Chin dalam ucapannya memberitahu bahawa beliau akan menyerahkan kerusi tersebut kepada calon yang lebih muda dan diyakini mampu menyambung perjuangan dan khidmat beliau kepada masyarakat di Miri. Sementara itu, ketika ditemui wartawan sejurus selepas itu Chin berkalikali menekankan bahawa penggal ini adalah yang terakhirnya bagi dirinya dan beliau tidak akan mempertahankannya lagi.

Malah beliau yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air memberitahu, akan menyerahkan surat pengunduran rasmi beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN Pusat. “Saya memohon restu beliau untuk berkhidmat sehingga penggal ini sahaja dan seterusnya menyerahkannya (kerusi Parlimen Miri) kepada calon yang lebih muda.

“Saya sudah lama mempersiapkan pengganti untuk saya dan ini adalah persediaan saya sebelum berundur (sebagai Ahli Parlimen Miri),” katanya.

Chin yang sudah menjadi Ahli Parlimen Miri sejak 1986 dan memberi bayangan yang jelas mengenai khidmat Setiausaha Politiknya Datuk Sebastian Ting yang dijangka akan menjadi pengantinya, berkata beliau (Sebastian) telah banyak melakukan tugas mewakilinya dan beliau amat berpuas hati dengan prestasi Sebastian sehingga kini.

“Anda sendiri melihat bagaimana beliau telah bekerja keras dan mewakili saya melakukan kebanyakan tugas saya.

“Setakat ini saya amat berpuas hati dengan pencapaian beliau,” katanya namun tidak menyatakan secara rasmi bahawa Sebastian adalah penggantinya kelak.

Ditanya jika hasrat beliau itu kelak ditolak oleh Najib yang mungkin masih memerlukan khidmatnya, Chin berkata beliau memberitahu ia adalah perancangan beliau secara peribadi dan bertekad akan melepaskan jawatan Ahli Parlimen Miri selepas enam penggal (26 tahun setakat ini).

“Saya sudah memberikan bayangan saya dan saya berharap beliau (Najib) akan merestuinya (pengunduran),” katanya namun beliau menegaskan akan terus berkhidmat kepada rakyat sebagai Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Ditanya sama ada SUPP sudah bersedia untuk berdepan dengan PRU13 dan memenangi semua kerusinya, selepas krisis terburuk berlaku dalam parti itu pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri yang lepas, Chin memberitahu bahawa beliau sudah pun mengerahkan semua pemimpin SUPP untuk turun padang dan berkhidmat secara terus kepada rakyat serta menyelesaikan masalah yang timbul bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap parti.

“Selepas semua pemimpin dan bakal calon parti telah melakukan yang terbaik, bertemu rakyat dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat terutamamasyarakat Cina dan menunjukkan kepimpinan SUPP yang sebenar -berkhidmat untuk masyarakat hingga ke peringkat akar umbi, dengan itu baharulah kami (SUPP) benar-benar bersedia berdepan PRU13,” katanya.

Dalam pada itu beliau berharap masyarakat Cina di negeri ini akan mengadili parti itu dan kepimpinan mereka dengan seadilnya terutama perjuangan dan pembangunan yang dibawa oleh SUPP bukan sahaja untuk kaum Cina tetapi semua peringkat rakyat amnya dan pembangunan di negeri ini khususnya.






No comments:

Post a Comment