Hasrat PR beri bantuan pendidikan percuma hanya janji manis mereka
KOTA SAMARAHAN: Impian Pakatan Rakyat (PR) menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) jika mereka memerintah hanyalah retorik politik semata-mata.
Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Belia Abdul Karim Rahman Hamzah berkata PTPTN yang diwujudkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah untuk membantu pelajar-pelajar melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
“Kita tahu bahawa rakyat negara ini amat memerlukan bantuan kewangan terutamanya kalangan mereka kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran anak-anak ke peringkat lebih tinggi.
“Justeru, kerajaan BN amat prihatin untuk membantu meringankan beban rakyat dengan menyediakan bantuan kewangan (PTPTN),” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Waran Pendahuluan Pendidikan (WPP) dan Bantuan Komputer Riba 1Malaysia di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini semalam.
Abdul Karim berkata, janji pembangkang menghapuskan PTPTN dan memberi bantuan pendidikan percuma kepada rakyat hanya janji manis mereka sahaja.
Katanya, PTPTN merupakan mekanisme kerajaan dalam pembangunan modal insan untuk merealisasikan impian pendidikan yang lebih cemerlang kepada rakyat.
“Kita harus berbangga dengan bantuan kewangan yang disediakan kerajaan untuk membantu anak-anak mencapai pendidikan yang lebih baik,” katanya.
Seramai 225 orang pelajar dari Bahagian Samarahan telah layak menerima pinjaman pendidikan itu dengan permulaan RM1,500 seorang.
Hadir sama Pegawai Daerah Samarahan Mohd Aini Abdul Wahab dan Penolong Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM) Mohd Daniel Jamali.
Pada majlis sama, Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya menyampaikan Komputer Riba 1Malaysia kepada pelajar-pelajar terbabit.
Sejumlah 4,635 unit Komputer 1Malaysia telah diperuntukkan di bawah Parlimen Kota Samarahan dan sebanyak 2,317 unit telah diagihkan.
Abdul Karim menarik perhatian pengagihan komputer itu adalah untuk mengurangkan jurang digital di antara penduduk bandar dan luar bandar.
Justeru, katanya, dengan adanya komputer itu maka dapat meningkatkan kadar penembusan jalur lebar terutamanya di kawasan luar bandar.
“Saya percaya selain meningkatkan kadar penggunaan ICT di kalangan penduduk luar bandar, program itu juga dapat meningkatkan kadar celik komputer,” katanya.
sumber:theborneopost
No comments:
Post a Comment