Tuesday 7 August 2012

BN serah kepada pemimpin tertinggi SPDP ambil tindakan disiplinkan Wong Judat

KUCHING: Barisan Nasional (BN) negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pemimpin tertinggi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) untuk tindakan sewajarnya ke atas ahlinya Wong Judat.

Judat yang juga ADUN Meluan menarik balik hasrat keluar daripada parti itu tetapi tetap berkeras untuk bertanding di Parlimen Julau jika penyandangnya Datuk Joseph Salang daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) dikekalkan.

Susulan tindakan Wong Judat itu, Setiausaha Agung BN Negeri Datuk Stephen Rundi Utom berkata SPDP perlu mendisiplinkannya dan memastikan beliau mematuhi persefahaman yang diamalkan dalam BN.

“Saya harap SPDP akan memandang serius perkara ini dengan semangat Satu BN untuk memastikan kita (BN) mampu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

“Kita mesti memenangi kerusi untuk BN dan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas penyerahan cek peruntukan berjumlah RM1 juta kepada Gereja St Luke, Sri Aman dan St Augustine, Betong di Tingkat 19, Bangunan Wisma Bapa Malaysia semalam.

Tambah Rundi, BN mempunyai jawatankuasa disiplin yang akan melihat kepada perkara-perkara yang boleh menjejaskan parti tetapi tidak adil untuk pihaknya membuat penilaian ke atas Judat tanpa melalui SPDP sendiri.

“Sebab itu kami menyerahkan kepada SPDP untuk mengambil apa sahaja tindakan yang sewajarnya dan saya mencadangkan supaya Judat didisiplinkan dan me-mastikan beliau memahami persefahaman BN,” katanya.

Ditanya mengenai keengganan Judat untuk menarik balik hasrat bertanding di Parlimen Julau jika Salang dikekalkan, Rundi berkata perkara ini adalah masalah peribadi antara kedua-dua mereka.

“Saya percaya pemimpin tertinggi dalam parti itu sendiri mampu menyelesaikan dan menjadi tanggungjawab mereka untuk berbuat demikian dengan semangat parti BN,” ujarnya.





No comments:

Post a Comment