Wednesday 29 August 2012

Jentera BN dilancar 29 Ogos untuk menangi Bandar Kuching, Stampin

KUCHING: Jentera Barisan Nasional (BN) akan dilancarkan pada Program 1Malam Bersama Sahabat P195 & P196 yang bertemakan ‘Malam Filem Rakan Karib Selamanya’ 29 Ogos dalam usaha memenangi dua kerusi Parlimen membabitkan Bandar Kuching dan Stampin.

Ketua Wanita Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Pending Winnie Lim berkata, dijangkakan 50 tetamu kenamaan akan hadir pada malam tersebut selain 600 ahli daripada keempat-empat parti komponen BN Negeri.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 10 kunjungan hormat sudah diadakan dan mendapat maklum balas yang amat menggalakkan.

“Pada malam tayangan ini kami akan lancarkan jentera BN.

“Program ini merupakan usaha untuk menggalakkan generasi muda bekerja keras dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, sebanyak 32 kereta klasik disediakan untuk membawa tetamu kenamaan dari ibu pejabat SPDP ke lokasi tayangan filem di pusat beli-belah tHe Spring.

Bagi Ketua Puteri SPDP Barbara Mawan, program tersebut yang julung kali diadakan amat menarik kerana ia menunjukkan keempat-empat parti komponen BN Negeri bersatu padu berdepan pembangkang.

“Saya berharap selepas program ini semangat persahabatan antara keempat-empat parti komponen ini dapat terus dipereratkan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Kai menjelaskan, mengukuhkan perhubungan antara keempat-empat parti adalah perkara penting, justeru penganjuran program berkenaan memang amat bersesuaian.

“Kita mahu kuatkan hubungan persahabatan. Ini adalah langkah terbaik ke arah merealisasikan impian ini (persahabatan berkekalan),” jelasnya.

Dalam pada itu menurutnya, sudah tiba masanya untuk pimpinan muda parti komponen BN Negeri memberi khidmat secara lebih menyeluruh kepada rakyat.

“Kita akan terus berkhidmat dengan sebaik mungkin untuk rakyat bagi memastikan pengundi Cina terus menyokong BN,” kata Tan.

No comments:

Post a Comment