Thursday 9 August 2012

Masalah dalaman tidak akan jejas pencapaian BN

SAMARAHAN: Masalah-masalah dalaman yang menyelubungi parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri kini, tidak akan menjejaskan pencapaian BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Demikian kenyataan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang kemudiannya menjelaskan bahawa BN Negeri akan tetap bersatu walaupun masalah dalaman berlaku di kalangan para pemimpin parti.

“Bagi PBB, kami cukup kukuh… sudah tentu ada masalah dengan parti komponen lain tetapi bagi saya, keputusan seperti Wong Judat untuk meninggalkan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) tidak akan menjejaskan kekuatan BN.

“Beliau selama ini seorang ‘lone ranger’ walaupun semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana beliau suka menyendiri.

“Cuma SPDP yang akan terjejas kerana hanya seorang ADUN sahaja yang tinggal daripada parti itu iaitu Presidennya (Tan Sri William Mawan),” katanya ketika ditemu bual selepas menyempurnakan majlis penyampaian cek pampasan bagi pengambilan balik tanah di bahagian Samarahan, di Kampung Rangkang, Sadong Jaya dekat sini, semalam.

Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua turut menyuarakan keyakinan bahawa walaupun berlaku masalah dalaman dalam parti komponen BN, ahli-ahlinya tetap akan bersatu apabila menghadapi PRU13 kelak.

Katanya ia terutamanya melibatkan ahli di peringkat akar umbi di luar bandar, di mana beliau tidak melihat sebarang masalah dengan majoritinya adalah penyokong BN.

“Contohnya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), saya pasti apabila tiba pilihan raya nanti, mereka mesti mengutamakan kepentingan parti dan paling penting ialah peringkat akar umbi masih mempercayai BN sepenuhnya kerana BN mempunyai rekod yang terbukti, berjaya menunaikan tugas dengan baik dan berjaya membawa banyak perubahan bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal tetapi juga aspek pembangunan yang lain.

“Mereka percaya hanya bersama BN mereka boleh maju ke hadapan dan harapan mereka akan dipenuhi, mereka percaya BN dapat menghadapi semua cabaran dan membawa perubahan serta transformasi kepada negara dan menaikkan tahap sosioekonomi rakyat,” kata Awang Tengah.

Berhubung kemampuan Parti Pekerja Sarawak (SWP) untuk memenangi kerusi pada pilihan raya ini, Awang Tengah berkata ia bergantung kepada situasi tetapi menegaskan semua parti komponen BN akan bersatu untuk memberikan masa depan yang baik kepada rakyat.

Mengulas mengenai peletakan jawatan pemimpin BN di Sabah, beliau turut berpendapat ia tidak akan menjejaskan pencapaian dan kedudukan BN di Sarawak.

No comments:

Post a Comment